Pusat KOMAS berasa amat kecewa dengan serangan berbaur perkauman yang dilontarkan oleh ahli-ahli parlimen pembangkang terhadap Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy seusai perbentangannya soal jawab belanjawan 2019 hari ini.
Malaysia ialah negara yang berpaksikan keharmonian segala kaum. Laungan untuk meratifikasikan ICERD bersesuaian dengan manifesto Pakatan Harapan yang menyatakan “Cita-cita rakyat ialah ingin menikmati kehidupan yang inklusif, harmoni, maju, makmur, adil dan saksama, serta bebas daripada diskriminasi. Kepelbagaian kaum dan agama harus dilihat sebagai satu sumber kekuatan yang menyegarkan, bukannya sebagai kelemahan yang menyukarkan”. Malaysia baru dijangka untuk menghentikan segala diskriminasi yang menggunakan agama dan kaum semata-mata kerana ingin mengangkatkan agenda politik yang hanya ada hayat yang pendek.
Pusat KOMAS amat terkejut dengan politik yang berada di takuk lama yang ditunjukkan oleh barisan pembangkang di Parlimen hari ini dengan melabelkan Menteri sebagai seorang yang rasis kerana ingin meratifikasikan ICERD. Kami ingin tekankan yang sepanjang beberapa minggu ini, parti-parti pembangkang ghairah dengan memainkan isu perkauman dan melakukan provokasi di dalam negara dengan menyebarkan maklumat yang palsu tentang meratifikasikan ICERD dan implikasinya terhadap negara. Ini boleh dilihat dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh barisan pimpinan parti politik dan protes di setiap pelusuk negara yang membantah ratifikasi ICERD.
Kami ingin menekankan yang dengan menandatangani ratifikasi ICERD, ia tidak akan menjejaskan kebajikan bumiputera di Malaysia. Malahan, ia akan menguatkan lagi peruntukan yang relevan di dalam Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan untuk menggalakkan kepentingan kebajikan bumiputera di Malaysia. Buat sekian lamanya, Artikel 153 telah disalahgunakan oleh golongan politik elit yang hanya mementingkan diri sendiri, tanpa melihat kepada mereka yang amat memerlukan. Pusat KOMAS berpendirian yang parti pembangkang harus hentikan setiap usaha untuk mengelirukan masyarakat umum dan berhenti menjuarai kepentingan kaum dan agama mereka.
Dalam era Malaysia baru, setiap bentuk provokasi dan hasutan harus dihentikan. Barisan pembangkang harus menanam sifat politik matang dan mencari kaedah yang sihat untuk bekerja dengan kerajaan baru dan jemaah menteri untuk Malaysia yang lebih baik dalam isu-isu tempatan mahupun untuk isu-isu luar negara.
Pusat KOMAS ingin menyeru kerajaan baru supaya tidak terjatuh ke dalam perangkap barisan parti politik pembangkang. Kerajaan harus menunjukkan kehendak politik yang baru dengan mengecam tindakan diskriminasi dan maju ke hadapan dengan negara yang lebih inklusif. Inilah masanya untuk kita menunjukkan kepada negara-negara lain yang kita bukannya negara yang bertolak ansur dengan diskriminasi kaum dan kita tidak akan membenarkan sejarah diskriminasi berulang lagi.
