Ahli Pasukan Kami

Barisan Pengarah Pusat KOMAS

Jerald Joseph

Jerald Joseph

Encik Jerald Joseph merupakan seorang pembela hak asasi manusia dan pelatih serta perunding yang berpengalaman selama 30 tahun, di peringkat tempatan dan antarabangsa. Beliau berpengalaman dalam isu-isu yang berkaitan dengan hak Orang Asli, penghapusan diskriminasi kaum, serta hak ekonomi, sosial, dan budaya (ESCR).

Encik Jerald Joseph telah berkhidmat sebagai Pesuruhjaya di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malysia (SUHAKAM) bagi penggal 2016-2019 / 2019-2022, iaitu selama 6 tahun. Beliau juga mempengerusikan Kumpulan Kerja bagi Aduan dan Pemantauan SUHAKAM.

Selain Pusat KOMAS, beliau juga mempengerusikan Majlis Eksekutif FORUM-ASIA dan merupakan ahli lembaga Greenpeace Asia Tenggara. Beliau turut dilantik sebagai salah seorang shli Majlis Penasihat Keselamatan Asia-Pasifik TikTok (TikTok Asia-Pacific Safety Advisory Council) serta Pengerusi Suruhanjaya Keadilan dan Keamanan (Commission on Peace and Justice), Institut De La Salle Brothers di Rome.

Sejak tahun 2006, beliau telah menerajui program Anti-Diskrimnasi terhadap Diskriminasi Kaum dalam kalangan organisasi masyarakat sivil (CSO) di Malaysia, serta telah membangunkan alat advokasi dan pendidikan untuk menangani rasisme.

Sebagai seorang yang telah lama berkecimpung di laman CSO, beliau telah mengetuai badan-badan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia untuk menyampaikan laporan kepada Kumpulan Kerja bagi Semakan Berkala Sejagat (UPR) di Geneva. Beliau juga pernah dilantik sebagai Pengerusi/Pengerusi Bersama bagi proses ASEAN Civil Society Conference/ASEAN Peoples’ Forum (ACSC/APF) pada tahun 2015 dan 2016.

Beliau juga pernah melibatkan dalam pelbagai CSO hak asasi manusia sebagai ahli, termasuk Badan Penasihat Yayasan Komanwel (Commonwealth Foundation Advisory Body), Asian South Pacific Beaureau for Education (ASPBAE), dan Jawatankuasa Pemandu NGO Asia Pasifik bagi Persidangan Dunia Menentang Rasisme (WCAR), dan sebagainya.

Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Penasihat/Pastor Awam (2003 – 2007) bagi International Movement for Catholic Students Asia-Pacific (IMCS) dan Penyelaras (2001-2004) bagi Pax Romana ICMICA Asia-Pasifik.

Di peringkat antarabangsa, beliau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Perundingan Dasar Luar Negeri, Kementrian Luar Negeri 2018-2020 dan 2021-2022. Beliau juga telah dilantik ke dalam Jawatankuasa Bebas Pekerja Migran, Kementrian Suber Manusia (2019-2020). Selain itu, beliau menganggotai ahli Panel Pemilihan AICHR Malaysia (ASEAN Intergovernmental Commission of Human Rights) yang dilantik oleh Menteri Luar Negeri (2018). Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Pelepasan Awal Banduan Secara Berlesen, yang dilantik oleh Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia (2020 – April 2022).

Beliau teruskan pengkibatannya sebagai Perunding dan Pelatih Hak Asasi Manusia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Tan Jo Hann

Tan Jo Hann

Tan Jo Hann memiliki lebih daripada empat dekad pengalaman dalam pengorganisasian komuniti dan advokasi akar umbi sejak tahun 1980-an hingga 2025. Kepakarannya merangkumi bidang perancangan strategik, komunikasi popular (popular communications), serta pembangunan dan penganjuran kempen-kempen hak asasi manusia dan politik. Beliau telahpun melatih dan membimbing ribuan fasilitator pengorganisasi komuniti di Malaysia, Indonesia, Vietnam, Kemboja, Timor Leste, Jepun, dan Filipina.

Beliau merupakan pengasas Program Komunikasi Popular Asia Tenggara (SEAPCP) pada tahun 1991 serta menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hak asasi manusia, Pusat KOMAS, pada tahun 1993. Beliau pernah memegang jawatan Presidan bagi Persatuan Masyarakat Selangor & Wilayah Persekutuan (PERMAS), sebuah rangkaian komuniti miskin bandar dan setinggan, dari tahun (2000-2015).

Beliau juga berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di negeri Selangor (2008-2012).

Jo Hann memperoleh Ijazah Sarjana Muda dalam Kewartawanan dan Sains Politik dari University of the Phillipines dan pernah menjadi wartawan foto bebas yang aktif dari tahun 1986 hingga 2000. Antara hasil penulisannya negenai pengorganisasian komuniti termasuk Get Organised (diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia, Jepun, Khmer, Vietnam, dan Burma), Walking on Water, Art of C.O., dan Popular Communications Facilitation.

Kakitangan Kami

Faribel Maglin Fernandez

Pengurus Operasi/Kewangan

Faribel Maglin Fernandez

Faribel merupakan Pengurus Operasi/Kewangan di Pusat KOMAS. Beliau telah dilatih selama tiga tahun di Chartered Institute of Management Accounting (CIMA) dan mengumpul pengalaman dalam pelbagai sector korporat selama tujuh tahun lebih.

Beliau membawa pengetahuan dan kemahiran yang luas melalui 22 tahun pegalamannya di Pusat KOMAS.

Beliau bertanggungjawab mengawasi kewangan dan operasi pejabat serta menyediakan cadangan pembiayaan untuk organisasi kami. Selain itu, beliau pernah berkhidmat sebagai wakil negara untuk ASEAN Peoples’ Forum dari 2019 hingga 2023 serta menyokong CSO Platform for Reform, sebuah rangkaian organisasi masyarakat sivil (CSO) yang dianggotai 71 organisasi di Malaysia.

Faribel telah memainkan peranan penting dalam membentuk hala tuju organisasi dan menyumbang banyak kepada Program Anti-Diskriminai Pusat KOMAS. Beliau juga terlibat secara aktif menyokong Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) selama 15 tahun.

Sebelum menyertai Pusat KOMAS, Faribel memperoleh pengalaman berharga dalam sektor perbankan dan perniagaan.

Nurul Afrina binti Rosli

Penyelaras Program

Nurul Afrina binti Rosli

Afrina merupakan graduan baharu dari Universiti Malaya, memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dalam Hubungan Antarabangsa dan Kajian Strategik (Kepujian) dengan pengkhususan dalam Pengajian Asia Tenggara. Kini berkhidmat sebagai Penyelaras Program di Pusat KOMAS, beliau komited dalam memperjuangkan keadilan sosial dan memupuk nilai inklusiviti dalam masyarakat. Sepanjang pengajian, Afrina aktif dalam aktivisme mahasiswa, memperjuangkan isu-isu sosial serta menyertai pelbagai program pembangunan kapasiti di dalam dan luar kampus. Minatnya terhadap isu ketidaksaksamaan semakin mendalam selepas menjadi alumni Bengkel Bangsa Malaysia pada tahun 2023, satu pengalaman yang telah membakar semangatnya untuk berjuang menentang rasisme dan diskriminasi di setiap lapisan masyarakat. Selain itu, Afrina juga pernah menimba pengalaman di Pusat Serantau Asia Tenggara bagi Mencegah Keganasan (SEARCCT), Kementerian Luar Negeri, di mana beliau terlibat dalam penyelidikan dan pembangunan strategi berkaitan isu keselamatan dan pencegahan keganasan. Pengalaman ini telah mengukuhkan pemahamannya tentang isu keselamatan antarabangsa serta kepentingan usaha diplomasi dan advokasi dalam menangani cabaran global. Kini, sebagai sebahagian daripada pasukan Pusat KOMAS, Afrina terus berusaha ke arah mewujudkan Malaysia yang lebih adil dan saksama.

Yogavelan Balamurli

Penyelaras Pengurusan Projek

Yogavelan Balamurli

Yoga merupakan Penyelaras Pengurusan Projek kami di Pusat Komas. Memegang Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Seni Bina dari Universiti Tunku Abdul Rahman, peranan Yoga melibatkan penyeliaan dokumentasi dan penyerahan untuk program terpilih yang dianjurkan oleh Pusat Komas dan sekutunya. Sebelum menyertai pasukan kami, Yoga mendedikasikan lapan tahun sebagai sukarelawan untuk LYNK, pertubuhan belia di bawah La Salle Centre Ipoh. Dalam kapasiti ini, Yoga mengambil bahagian secara aktif dalam menganjurkan dan mengambil bahagian dalam program yang memberi tumpuan kepada pembinaan dan pembangunan sahsiah untuk golongan belia dari pelbagai peringkat umur. Latar belakang akademik Yoga dan pengalaman sukarelawannya yang luas telah melengkapkannya dengan pemahaman yang mendalam tentang kepentingan komunikasi dan kemahiran organisasi dalam kerja komuniti dan kemasyarakatan, khususnya dalam bidang hak asasi manusia.

Rakan Pusat KOMAS

Mereka merupakan individu yang terus memberi komitmen terhadap sasaran dan misi Pusat KOMAS melalui sokongan dan bantuan sepanjang tahun-tahun yang lalu untuk tujuan advokasi dan menjuarai kesamarataan dan anti-diskriminasi di Malaysia.

Adli Zakuan Zairakithnaini

Adli Zakuan Zairakithnaini

Adli Zakuan Zairakithnaini adalah seorang graduan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM). Beliau adalah ahli EXCO Gerakan Belia Muslim Malaysia (ABIM) yang bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Antarabangsa dan penyelaras bagi Pasukan Tugas Hak Asasi Manusia dan Melawan Ekstremisme Keganasan. Selain daripada ABIM, beliau juga merupakan Ahli Majlis Tertinggi Majlis Belia Malaysia (MYC) dan ahli EXCO Misi Perdamaian Global Malaysia (GPM), sebuah agensi kemanusiaan, di mana beliau berpeluang menyelaras beberapa misi kemanusiaan yang berjaya ke Arakan, Myanmar sejak tahun 2012. Sebelum menyertai Pusat KOMAS, Adli adalah Pengarah Operasi dan Pengurus Penyelidikan di Yayasan Gerakan Moden Global (GMMF). Beliau juga mempunyai pengalaman untuk membantu pelarian di Malaysia sebagai Pekerja Kes Kebajikan di International Rescue Committee dan sebagai Peguam Bantuan Guaman di Komisioner Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) semasa mengikutkan diri di firma guaman Sreenevasan & Co di bawah bimbingan Janini Rajeswaran dan Ambiga Sreenevasan.

Barathi Selvam

Barathi Selvam

Ilaiya Barathi Panneerselvam adalah seorang ahli akademik dalam bidang Komunikasi dan seorang penyokong tegar kepada Arsenal. Dikenali dengan panggilan Barathi, beliau merupakan graduan dalam bidang kewartawanan dari Universiti Sains Malaysia dan telah menamatkan pengajian Sarjana Komunikasi di universiti yang sama. Kepayahan yang dialaminya dalam penyelidikan nampaknya memberikan keseronokan baginya kerana beliau berhasrat untuk melanjutkan pengajian PhD dalam meneroka realiti identiti kebangsaan, representasi dan pembinaan identiti dalam kalangan komuniti terpinggir dalam filem Malaysia dengan harapan untuk membantah atau berunding tentang konsep "filem kebangsaan" di alma maternya. Barathi bersemangat tentang ketidaksetaraan kelas dan diskriminasi dalam filem dan masyarakat, yang memotivasinya untuk terlibat dalam isu-isu yang dekat di hatinya, terutamanya mengenai ketidakadilan yang dilakukan terhadap golongan miskin, tidak berdaya dan golongan pekerja. Beliau seorang penulis yang kadang-kadang mempunyai banyak artikel yang diterbitkan di Aliran Online, Malay Mail Online dan Free Malaysia Today. Pada masa lapang, Barathi menemui ketenangan dengan mendengar muzik A.R Rahman atau meladeni dunia Harry Potter.

Arul Prakkash

Arul Prakkash

Prakkash ialah seorang aktivis hak asasi manusia, penggerak masyarakat dan pakar media yang menerajui program kerja WITNESS di Asia dan Pasifik. Beliau berusaha untuk penggunaan video bagi mendedahkan pelanggaran hak asasi manusia dalam situasi kritikal yang memerlukan respon di wilayah ini, seperti jenayah perang, pembersihan etnik, pengusiran paksa, keganasan berkaitan pilihan raya, penyalahgunaan kuasa polis, dan lain-lain.

Beliau melatih dan menyokong rangkaian aktivis barisan hadapan, gerakan akar umbi, pempengaruh media sosial, wartawan, media bebas, rakyat, dan NGO dalam menggunakan video dan teknologi untuk hak asasi manusia, terutamanya penggunaannya sebagai bahan bukti. Ini termasuk pengarkiban video dan advokasi seluruh rantau, serta isu keselamatan digital dan fizikal.

Kepakaran Prakkash termasuk penggunaan teknologi internet dan media sosial untuk pendidikan dan advokasi hak asasi manusia di Asia Tenggara. Prakkash telah terlibat dalam komunikasi multimedia di peringkat akar umbi selama lebih dari 20 tahun di Malaysia, terutamanya dengan organisasi masyarakat sivil, media bebas, dan aktivis. Beliau juga mempunyai pengalaman luas dalam menggunakan komunikasi popular untuk memberi kuasa dan memperjuangkan hak asasi manusia, serta menggerakkan komuniti belia bandar miskin, komuniti orang asli, dan pekerja ladang.

Sebelum menyertai WITNESS pada tahun 2014, Prakkash telah berkhidmat selama 10 tahun sebagai pengarah eksekutif dan staf program kanan di Pusat KOMAS. Beliau juga merupakan ahli jawatankuasa pemandu BERSIH 2.0, gerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan pilihan raya bebas dan adil di Malaysia. Kemudian, beliau membantu menubuhkan dan bersama-sama menyelaras badan pemerhati pilihan raya berasaskan web yang melibatkan seluruh negara, serta melatih ratusan pemerhati bebas semasa pilihan raya umum Malaysia 2013.

Prakkash baru-baru ini mengarahkan filem dokumentari Melawan Arus, yang menjejaki gerakan massa kritikal yang menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional selama 61 tahun di Malaysia.

Adam Idris

Adam Idris

Adam Idris ialah seorang sarjana undang-undang, pendidik, dan aktivis dengan kepakaran dalam undang-undang perlembagaan, hak asasi manusia, undang-undang pekerjaan, dan falsafah. Beliau memiliki pengalaman sebanyak 17 tahun dalam bidang akademik dan industry serta aktif terlibat dalam pendidikan undang-undang dan advokasi hak asasi manusia.

Sebagai seorang ahli akademik, Adam telah mengajar undang-undang di pelbagai institusi dan terus mengajar pelajar peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang undang-undang. Minat penyelidikannya merangkumi bidang perundangan, falsafah, undang-undang pekerjaan, dan hak asasi manusia, dengan tumpuan terhadap kesaksamaan substantif dan kebebasan beragama.

Pada masa lapangnya, Adam gemar berbasikal, pertukangan kayu, dan berlari. Beliau telah menyertai beberapa cabaran Audax Randonneur di Malaysia dan bercita-cita untuk menyertai Paris-Brest-Paris suatu hari nanti. Beliau juga seorang yang sentiasa mengembalikan troli ke tempat yang sepatutnya dan menyimpan sampah di poketnya sehingga menjumpai tong sampah.

Jeremy Robeiro

Jeremy Robeiro

Jeremy Robeiro merupakan bekas Penyelaras Program Pusat KOMAS dengan pengalaman kira-kira 5 tahun dalam advokasi Hak Asasi Manusia.
Sebelum menyertai Pusat KOMAS, Jeremy aktif terlibat di La Salle Centre, Ipoh, di mana beliau telah mengasah kemahirannya sebagai jurulatih dan fasilitator sejak tahun 2013.
Dengan rasa kagum dan penghargaan yang mendalam terhadap bidang undang-undang, digabungkan dengan modul latihan yang kreatif dan inovatif, Jeremy bercita-cita untuk menjadi pemangkin dalam mempromosikan hak asasi manusia kepada semua rakyat. Sehingga kini, Jeremy telah menjalankan lebih daripada 30 bengkel sejak beliau mula melatih hampir satu dekad lalu.