Merujuk kepada dua kejadian yang tidak menghiraukan sensitiviti kaum yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Shaid Rosli dan Menteri Besar Kedah, Muhammed Sanusi Md. Nor, Pusat KOMAS dengan tegas mengecam tindakan dan sikap mereka yang tidak mempertimbangkan sensitiviti dan kepentingan memupuk hubungan antara etnik yang harmoni.

Idea Shaid Rosli untuk menghentikan penjualan alkohol di bahagian “tidak halal” yang dikhaskan untuk pelanggan bukan Muslim adalah tidak masuk akal atas asas kebersihan atau dakwaan tidak berasas beliau yang menyatakan bahawa kawasan tersebut merupakan kawasan orang Melayu . Di sini, kita ingin menegaskan bahawa walaupun kawasan tersebut didiami oleh populasi yang majoriti penduduk Melayu namun ianya bukanlah suatu kawasan eksklusif untuk satu-satu kumpulan etnik sahaja. Biarpun pasar tersebut telah patuh kepada prosedur operasi yang piawai, keputusan untuk menutup bahagian yang menjual alkohol tersebut berdasarkan kepada komposisi kaum penduduk adalah tidak perlu dan bermotifkan politik.

Pusat KOMAS meminta agar Shaid Rosli dan rakan-rakan beliau yang mempunyai pemikiran yang seumpamanya untuk tidak menyalahgunakan situasi tersebut untuk kepentingan politik peribadi dan sebaliknya mengambil tindakan berani seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan untuk mendidik dan menimbulkan kesedaran mengenai kepentingan untuk menghormati hak minoriti di negara ini.

Muhammed Sanusi pula telah mengambil “langkah kebelakang” dengan membangkitkan semula stereotaip mengaitkan etnik India dengan minuman todi yang telah lama wujud. Meminum alkohol adalah pilihan peribadi dan tidak menjadi kriteria secara khusus kepada mana-mana etnik atau pegangan agama. Dengan mengaitkan sesuatu etnik sebagai satu-satunya kriteria peminum alkohol, Muhammed Sanusi telah jelas membuktikan beliau tidak mempunyai kemampuan untuk memimpin negeri serta rakyatnya.

Kedua-dua insiden menunjukkan kepada kita bahawa wakil rakyat yang telah dipilih ini telah melupakan kemenangan mereka pada pilihanraya yang lalu adalah sumbangan bersama rakyat dari segenap lapisan masyarakat. Sebagai individu yang hidup di dalam masyarakat berbilang etnik, mereka mesti bertanggungjawab dalam tindakan serta perkataan mereka dengan menjauhi dari sebarang elemen diskriminasi terhadap mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira etnik serta pegangan agama.

Pusat KOMAS ingin mengingatkan wakil rakyat yang telah dipilih ini bahawa peranan mereka adalah untuk berkhidmat kepada rakyat tanpa dikelabui dengan kecenderungan peribadi serta prejudis. Sekiranya mereka tidak berupaya untuk memenuhi permintaan ini, mereka sepatutnya meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada calon-calon yang mengutamakan rakyat untuk mengambil alih peranan mereka pada masa hadapan.

Disediakan oleh,
Pusat KOMAS.
6 Disember 2020.