Pusat KOMAS memuji tindakan tangkas pihak Polis Klang Selatan memberkas empat orang individu yang disyaki terlibat dalam kejadian dua orang pengawal peribadi yang telah menerima layanan buruk secara fizikal dan lisan oleh majikan mereka pada 14 April 2021. Saranan yang diberikan oleh pihak Polis Klang Selatan supaya masyarakat atau mana-mana individu untuk tidak menyalahgunakan media sosial dengan menjadikan kes ini sebagai isu perkauman wajar dipatuhi semua.

Pusat KOMAS berpandangan bahawa insiden ini adalah suatu insiden yang tidak patut berlaku di dalam masyarakat majmuk di Malaysia yang telah wujud sekian lama. Namun ianya memberi gambaran terhadap tahap keterbukaan masyarakat terhadap kepelbagaian etnik, agama dan budaya yang ada di negara kita.

Kita mengambil maklum bahawa kejadian ini merupakan suatu kejadian terpencil yang dilakukan oleh kelompok kecil dari satu kumpulan etnik dan ianya tidak patut dibingkaikan terhadap keseluruhan etnik tersebut. Reaksi awam terhadap para pelaku jenayah ini perlu dielakkan dari dikelabui dengan stereotaip dan persepsi terhadap sesuatu etnik. Selain itu, ahli politik perlu mengelakkan dari melihat isu ini dari lensa perkauman dan keagamaan dengan mencetuskan pergaduhan antara bukan Muslim dengan Muslim.

Pusat KOMAS berpendirian bahawa kedua-dua pengawal peribadi tersebut sepatutnya menerima layanan yang saksama dan tidak didiskriminasi berdasarkan amalan serta kepercayaan agama Islam yang dianuti. Sebagai pekerja, mereka bebas mengamalkan amalan keagamaan mereka.

Pusat KOMAS turut berpegang bahawa para majikan wajib mengelakkan dari menggunakan bahasa yang bersifat intimidasi dan provokatif yang mengandungi unsur penghinaan serta menghasut terhadap pekerja mereka atas apa jua faktor sama ada etnik, agama, asal usul dan sebagainya. Para majikan harus menghargai dan meraikan kepelbagaian yang wujud di tempat kerja masing-masing.

Kami menggesa semua majikan sama ada di sektor awam mahupun swasta untuk mematuhi amalan-amalan terbaik berkenaan hak asasi manusia di tempat kerja bagi mewujudkan ruang kerja yang bebas dari rasisme dan diskriminasi serta memastikan layanan yang saksama terhadap semua pekerja.

Dikeluarkan oleh,
Pusat KOMAS
16 April 2021