Pusat KOMAS mengecam sekeras-kerasnya retorik yang berbaur perkauman berhubung dengan sambutan Hari Natal yang diadakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Kenyataan provokasi yang dilontarkan oleh Ketua Komunikasi Pemuda PAS, Khairul Nadzir dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menjejaskan nilai perpaduan dan hormat-menghormati yang dijunjung oleh rakyat Malaysia.

Tuduhan Pemuda PAS, yang membawa tuntutan agar perayaan orang bukan beragama Islam yang melibatkan orang yang beragama Islam untuk dihentikan, menggambarkan tafsiran mereka yang cetek mengenai sensitiviti agama dalam kalangan masyarakat yang berkepelbagaian di Malaysia. Ini boleh menjejaskan usaha-usaha untuk memupuk keterangkuman dan keharmonian negara. Kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan hanya menyemarakkan lagi isu ini dengan memesongkan persepsi terhadap perayaan tersebut yang dilihat mencabar prinsip agama Islam dan pihak berkuasa berkaitan, yang hanya memperdalam jurang tersebut.

PAS sebelum ini pernah menegaskan komitmen mereka untuk mendokong kepelbagaian di Malaysia. Walau bagaimanapun, PAS masih belum memaparkan usaha yang jelas dalam menegakkan hak dan kepentingan pelbagai golongan masyarakat. Perayaan kebudayaan yang diadakan sebegini harus dilihat sebagai peluang untuk meraikan kepelbagaian budaya yang amat kaya di Malaysia, dan bukan penghinaan kepada agama lain. Kami berharap bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh PAS mengenai perkara ini tidak menghalalkan diskriminasi terhadap perayaan secara terbuka masyarakat bukan beragama Islam.

Kami berharap pihak PAS dapat mencontohi negara-negara lain yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam seperti Indonesia yang telah membuktikan masyarakat yang berkepelbagaian boleh meraikan acara kebudayaan dan keagamaan mereka secara inklusif. Malaysia boleh mengikut jejak langkah pendekatan sedemikian untuk memastikan perayaan di ruang am adalah inklusif, penuh hormat, dan mengukuhkan identiti pelbagai budaya kita.

Percubaan untuk mempolitikkan acara-acara sebegini memudaratkan perpaduan yang kita perjuangkan agar terus dikekalkan.

Malaysia memerlukan kepimpinan yang menyatupadukan, bukan pemecah belah. Pusat KOMAS menggesa semua pihak untuk mengelak daripada retorik yang memecahbelahkan dan sebaliknya berdialog secara konstruktif. Kenyataan yang dipandu oleh emosi dan tuduhan, sama ada daripada parti politik ataupun pemimpin kerajaan, boleh mencetuskan permusuhan dan menghakis kepercayaan antara masyarakat yang berbilang budaya. Perpaduan dan keharmonian harus diberi keutamaan atas kepentingan politik.

Pusat KOMAS menegaskan komitmen kami untuk memperjuangkan negara Malaysia yang meraikan kepelbagaian dan menjunjung nilai keadilan dan kesaksamaan. Kami menyeru bahawa semua rakyat Malaysia menolak naratif yang memecahbelahkan dan berusaha ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang lebih inklusif dan bersatu padu. Kami haruslah maju ke hadapan melalui dialog konstruktif, keterangkuman dan saling menghormati, untuk memastikan negara kita terus stabil dan berharmoni.