international day elimination racial discrimination international day elimination racial discrimination 161143182

21 Mac 2020 menandakan Ulang Tahun ke-60 untuk Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum. Hari yang lahir dari rahim perjuangan anti-apatheid, pejuang penghapusan diskriminasi kaum 60 tahun dahulu menekankan kepentingan perpaduan lebih dari segalanya.

Pergelutan dalam menangani wabak CoVid-19 telah menyedarkan semua warga manusia bahawa keberlangsungan hidup kita adalah sesuatu yang mungkin apabila seluruh jiwa dan raga kita disalurkan kepada pembinaan generasi melalui nilai-nilai kebersamaan (inklusif). Di Malaysia, masyarakat dari pelbagai peringkat telah diselubungi perasaan resah, takut, sakit dan ketidaktentuan semenjak beberapa bulan yang lepas akibat dari Covid-19.

Pejuang-pejuang barisan hadapan seperti doktor, pekerja kesihatan, pekerja kebersihan dan ramai lagi, dengan hanya berbekalkan topeng muka dan pakaian perlindungan, bertarung nyawa menyelamatkan pesakit-pesakit tanpa mengambil kira identiti mahupuan kepercayaan para pesakit. Pengorbanan mereka ini tidak lain, hanya untuk memastikan keselamatan nyawa kita supaya kita dapat terus berhubung dengan orang tersayang.

Sementara dunia mengalami kepahitan serangan wabak dan bencana alam, pejuang barisan hadapan mengingatkan kita bahawa darah yang mengalir di dalam badan kita adalah sama, berwarna merah, manakala virus pula menyerang tanpa memilih mana-mana etnik atau kumpulan agama. Waktu yang mencabar ini memerlukan manusia mengenepikan, dan seterunya menghapuskan secara keseluruhan, fahaman yang memartabatkan ketuanan satu-satu etnik atau agama.

Sesungguhnya sejarah telah membuktikan bahawa pelbagai bentuk virus telah Berjaya dirawat dan dihapuskan, namun pada masa yang sama juga, virus perkauman terus kekal membiak ganas dan menjangkiti sunnatullah kepelbagaian etnik berabad lamanya.

Oleh yang demikian, kami mengajak semua rakyat Malaysia untuk menolak penyakit dan toksik perkauman yang dimainkan oleh parti-parti politik berasaskan kaum dan agama yang tanpa ragu-ragu, mampu membunuh dan menghancurkan kemanusian dengan lebih dahsyat apabila dibandingkan dengan mana-mana virus yang wujud.

Kita perlu memahami bahawa alam semulajadi kini sedang memberikan kita peringatan untuk menerima satu sama lain dan bangkit melangkau perbezaan etnik dan agama. Buat julung kalinya, kita mendengar jejak suara alam dan berkerja keras sehingga kita mampu dengan bangganya melaungkan kepada dunia bahawa kita adalah sebuah negara yang bebas dari perkauman.

Akhir sekali, Pusat KOMAS mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Menyambut Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Antara Kaum.

Kenyataan oleh: Pusat KOMAS