Pusat KOMAS telah mengadakan satu mesyuarat konstruktif dengan Yang di‑Pertua Dewan Rakyat, YB Tan Sri Dato’ (Dr.) Johari bin Abdul, serta delegasi yang dilantik oleh beliau untuk menghadiri mesyuarat tersebut. Pusat KOMAS membentangkan dapatan Laporan Racisme Malaysia 2025 pada Isnin, 13 April 2026, memandangkan laporan tersebut mengenal pasti dan mendokumentasikan insiden diskriminasi kaum dan/atau agama sepanjang Penggal Keempat Parlimen ke‑15 pada tahun 2025, berdasarkan rekod Hansard dan dinilai selaras dengan prinsip tidak diskriminasi yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta piawaian hak asasi manusia antarabangsa.
Tujuan mesyuarat tersebut adalah untuk meneroka kaedah yang lebih berkesan ke hadapan, dengan matlamat berganda untuk mengurangkan ucapan berbaur perkauman sambil memelihara kebebasan bersuara dan berekspresi dalam perbahasan Parlimen.
Perbincangan tersebut telah dihadiri oleh individu‑individu berikut:
Pasukan Pusat KOMAS seramai lima orang, diketuai oleh Pengarahnya, Jerald
Joseph.
Ahli Pusat KOMAS seramai lima orang, diketuai oleh Pengarahnya, Jerald
Joseph.
- YB Tan Sri Dato’ Dr Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat
- YB Syahredzan bin Johan, Pengerusi, APPGM-RRH
- YB Dr Hajah Halimah binti Ali, Timbalan Pengerusi, APPGM-RRH
- Dr Nizam Mydin Bacha Mydin, Setiausaha Dewan Rakyat
- Dr Murni Wan Mohd Nor, Pengarah Kanan Penolong Utama, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)
- Prof. Madya Dr Syaza Farhana binti Muhammad Shukri, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia
- Wakil-wakil daripada Sekretariat APPGM-RRH
Semasa perbincangan tersebut, Yang di-Pertua dan Setiausaha Dewan Rakyat telah menyatakan aspirasi yang positif untuk menangani kebimbangan ini di dalam Dewan, dengan matlamat serampang dua mata iaitu memupuk keharmonian sambil melindungi kebebasan bersuara dan berpendapat dalam perbahasan Parlimen.
Sebagai sebuah organisasi yang telah memperjuangkan usaha menentang perkauman selama lebih dua dekad, Pusat KOMAS telah mencadangkan pengenalan satu Kod Etika bagi menggalakkan pertuturan yang tidak bersifat diskriminasi, sebagaimana yang telah dilaksanakan di negara-negara dan badan lain seperti United Kingdom, Afrika Selatan, Kesatuan Eropah, dan PBB. Langkah-langkah ini bertujuan untuk memberi panduan kepada Ahli Parlimen agar lebih memahami perkara yang boleh dianggap sebagai kenyataan berunsur perkauman atau diskriminasi di dalam Dewan, di samping membantu Yang di-Pertua yang mempengerusikan sidang dalam membuat keputusan terhadap kenyataan yang bersifat menghasut.
Laporan tersebut telah diserahkan secara rasmi kepada Pengerusi APPGM-RRH, susulan arahan oleh Yang di-Pertua, Tan Sri (Dr.) Johari, pada jam 12.00 tengah hari pada hari tersebut untuk tindakan lanjut.
Pusat KOMAS merakamkan penghargaan kepada Tan Sri (Dr.) Johari, Dr. Nizam Mydin, dan APPGM-RRH kerana mengambil perhatian terhadap dapatan serta cadangan kami dalam edisi tahun ini bagi Laporan Rasisme Malaysia. Kami yakin bahawa pihak-pihak berkaitan yang hadir akan mengambil langkah sewajarnya untuk menangani kekhuatiran yang dibangkitkan melalui laporan ini serta suara rakyat, demi memastikan Parlimen terus kekal sebagai tunjang demokrasi yang menjadi wadah perdialogan dasar dan reformasi secara konstruktif, bebas daripada percaturan politik perkauman dan agama.
