Slaid Tajuk

Pilihan Raya Negeri Melaka diadakan pada November 2021 berikutan krisis politik yang berlaku. Kempen pilihan raya telah dilakukan secara atas talian disebabkan sekatan terhadap kempen secara fizikal bagi menghalang penyebaran Covid-19. Pusat KOMAS telah bekerjasama dengan Zanroo Malaysia untuk memantau perbualan di media sosial sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka pada 1 hingga 22 November 2021. Perbualan awam, kenyataan dan tindakan ahli politik telah dipantau dan direkod untuk menentukan sama ada terdapat unsur politik perkauman dan keagamaan yang dimainkan di media sosial.

Dapatan Umum daripada Projek Pemantauan Media Sosial

Beberapa topik perbualan di media sosial sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka telah dikenalpasti. Topik berkaitan (1) Lompat parti, (2) Covid-19 dan (3) Kaum dan Agama telah dikenalpasti sebagai topik-topik utama sepanjang tempoh tersebut, mempamerkan skor impak yang tinggi (kebolehcakapan [1] (talkability) yang tinggi dan interaksi purata mengikut topik [2] (average engagement per topic)). Dalam konteks ini, hantaran (posts) dengan skor impak yang tinggi bermaksud perbualan berkaitan topik tersebut telah dimulakan dan menerima reaksi (melalui sukaan (likes), perkongsian (sharing), komen dan lain-lain) sewaktu ianya dilihat.

Skor Impak utk Topik Utama trythroughAI
  1. Lompat Parti

Lompat Parti didapati sebagai topik utama yang menjadi tumpuan sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka kerana PRN diadakan kerana wakil rakyat yang dipilih sebelum ini telah menukar sokongan mereka. Rakyat Malaysia telah menyuarakan pandangan dan pendapat mereka di media sosial mengenai topik ini. Lompat Parti disenaraikan pada posisi terbawah dari aspek kebolehcakapan di kalangan tiga topik perbualan, tetapi memperoleh purata interaksi mengikut topik yang tinggi.

  1. COVID-19

Rakyat Malaysia telah menyatakan kerisauan mereka mengenai pandemik Covid-19 sewaktu Pilihan Raya Negeri Melaka susulan usaha pengawalan Covid-19 yang terjejas susulan Pilihan Raya Negeri Sabah yang menyebabkan peningkatan jangkitan tanpa kawalan. Masyarakat awam gusar akan berlakunya situasi seumpama itu kerana Pilihan Raya Negeri Melaka. Topik ini berada di kedudukan tertinggi dari aspek kebolehcakapan namun berada di kedudukan terakhir dari aspek interaksi mengikut topik.

  1. Kaum dan Agama

Topik berhubungan kaum dan agama juga didapati sohor kini di media sosial sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka. Walaupun tidak memperoleh kebolehcakapan dan interaksi mengikut topik yang tertinggi, topik ini menerima skor yang agak tinggi dari aspek kebolehcakapan dan interaksi mengikut topik serta meraih skor impak yang tinggi.   

Walaupun topik-topik seperti Lompat Parti, Covid-19 dan Kaum dan Agama telah didapati mewarnai topik perbualan di media sosial sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka, ianya amat membimbangkan dimana topik Kaum dan Agama memperoleh skor impak yang tinggi, dan ini menggambarkan bahawa topik Kaum dan Agama telah menerima sambutan dan menjana kebanyakan perbualan di kalangan masyarakat awam berbanding topik Lompat Parti dan Covid-19.

Kaum dan Agama di Media Sosial

Khususnya, kami telah meneliti topik perbualan berkenaan Kaum dan Agama dan telah mengenalpasti topik-topik berikut (1) Provokasi Keagamaan, (2) Polisi berasaskan Kaum dan (3) Perbualan Mengenai Perkauman dan Keagamaan sebagai topik perbualan utama dibawah kategori ini. Skor impak untuk topik-topik ini telah diteliti dan dipaparkan melalui gambar rajah berikut. 

image2

Senarai kata kunci yang digunakan untuk projek pemantauan (not exhaustive):

  1. UMNO
  2. Bersatu
  3. DAP
  4. PAS
  5. PKR
  6. Gerakan
  7. Pakatan Harapan / PH
  8. Barisan Nasional / BN
  9. Amanah
  10. MIC
  11. MCA
  12. IMAN
  13. Perikatan Nasional / PN
  14. Cina
  15. Melayu
  16. India
  17. Pendatang
  18. Article 153 / Artikel 153
  19. Agama
  20. Islam
  21. Sekolah vernakular
  22. Bumi / Bumiputera
  23. Hak istimewa
  24. Tanah (Tanah Melayu / Tanah Asli / Tanah Asal)
  25. Arak
  26. Katak
  27. Judi
  28. Perpaduan
  29. Keharmonian / Harmoni
  30. Kepelbagaian
  31. Hudud
  32. RUU355
  33. Tongsan
  34. Keling
  35. Ummah
  36. Muafakat Nasional
  37. Bangsa / Kaum
  38. Hawau
  1. Provokasi Keagamaan

Kempen politik berdasarkan agama seperti #IslamMenyatukanUmmah untuk mempromosikan kesatuan Muslim dan isu-isu yang disensasikan sebagai isu agama seperti pengharaman jenama wiski ‘Timah’, penutupan kedai-kedai 4D di Kedah dan pengharaman minuman beralkohol di beberapa buah negeri telah menerima kebolehcakapan yang tinggi dan purata interaksi mengikut topik yang sederhana sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka.

  1. Polisi berasaskan Kaum

Perbualan mengenai polisi yang melindungi kepentingan suatu kumpulan etnik merupakan satu lagi topik yang menerima skor impak yang tinggi. Khususnya, topik ini menduduki posisi sederhana dari aspek talkability tetapi menerima skor tertinggi dari aspek interaksi mengikut topik. Topik-topik berkaitan polisi-bertumpukan bumiputera (contohnya sistem kuota) dan polisi-polisi pendidikan (contohnya Sijil Peperiksaan Bersepadu/UEC, sekolah vernakular) telah dijadikan isu perkauman dan digunakan sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka.

  1. Perbualan Mengenai Perkauman dan Keagamaan

Masyarakat awam juga didapati terlibat dengan perbualan mengenai perkauman dan keagamaan sewaktu tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri Melaka. Sebahagian dari kandungan mesej adalah bersifat anti-perkauman atau perilaku diskriminasi perkauman oleh ahli politik dan parti politik. Sebahagian yang lain pula adalah bersifat perkauman, mengandungi cercaan dan ucapan yang mengandungi unsur permusuhan terhadap kaum lain. Sebahagian kecil mesej bersifat menimbulkan ketakutan dimana sebahagian ahli masyarakat tidak menyerang atau menghina secara terang-terangan kaum tertentu tetapi menimbulkan tuduhan terhadap suatu kaum yang menjadi ancaman terhadap mereka dan menyeru supaya kaum mereka menjauhi ancaman tersebut. Topik ini menduduki posisi terendah dari aspek aspek kebolehcakapan dan interaksi mengikut topik.

Dapatan kami menunjukkan bahawa kebanyakan perbualan berkenaan kaum dan agama dimulakan oleh ahli politik dan/atau parti politik mereka. Sewaktu tempoh berkempen, seruan untuk mengharamkan penjualan wiski jenama ‘Timah’ dan penutupan premis perjudian 4D di Kedah telah digerakkan oleh ahli politik sendiri. Detik masa topik-topik ini dibangkitkan adalah membimbangkan kerana ditimbulkan sewaktu tempoh berkempen dan ini memperihalkan bahawa isu-isu ini ditimbulkan bagi mengganggu dan mempengaruhi keputusan pengundian. Ini dapat dilihat melalui perbualan yang ditemui di media sosial dimana perdebatan mengenai isu kaum dan agama berlaku yang melibatkan individu dari pelbagai kumpulan agama. Berdasarkan dapatan ini, kita dapat menyimpulkan bahawa perbualan berkaitan kaum dan agama di media sosial adalah dimulakan oleh ahli politik dan pihak media yang melaporkan insiden terbabit melalui cara yang telah dipolitik dan disensasikan. Apabila perkara ini telah dipolitik dan disensasikan, perbincangan dan debat yang hangat di media sosial akan mudah berlaku dan merobek fabrik sosial negara ini yang mengikat semua rakyat Malaysia yang telah sedia rapuh.

Strategi Komunikasi Parti Politik

Kami juga telah meneliti strategi komunikasi gabungan politik utama dan parti-parti komponen sewaktu PRN Melaka. Hantaran-hantaran utama oleh saluran rasmi parti dan jurucakap utama mereka (contohnya pimpinan parti) telah dipantau dan terpilih untuk dianalisa. Empat kategori utama telah dikenalpasti di dalam strategi komunikasi parti politik:

  1. Mesej berkaitan dengan Politik

Hantaran atau komen yang mengandungi isu politik dan serangan antara parti (contohnya Semua pimpinan BN adalah kleptokrat, PH gila kuasa, kerjasama PAS dan BERSATU) telah disatukan dalam kategori ini.

  1. Mesej berkenaan Ekonomi

Hantaran atau komen yang menyebutkan tentang perkara berkaitan ekonomi (contohnya Bajet 2022, Pengurangan Cukai, Pulangan keuntungan dari projek/inisiatif tertentu) telah disatukan dalam kategori Ekonomi.

  1. Mesej berkaitan Kaum & Agama

Hantaran atau komen yang menyebutkan mana-mana kumpulan etnik (contohnya Melayu, Cina dan sebagainya) dan agama (contohnya Islam, Hindu dan sebagainya) telah dikumpulkan dalam kategori Kaum & Agama. Sebarang hantaran atau komen yang mengandungi sebutan tentang etnik dan agama telah disatukan dalam kategori ini tanpa mengira sama ada hantaran atau komen tersebut dibuat secara umum dengan merujuk kepada kaum atau agama, bersifat perkauman atau provokatif atau menentang perkauman.

Barisan Nasional (BN)

Bahagian terbesar mesej kempen BN adalah dari tema Politik (54%). Dari sudut pandang politik, beberapa hantaran BN mensasarkan parti-parti lain seperti sikap PH terhadap pelompat parti dan reaksi BERSATU yang enggan bekerjasama dengan UMNO. Mesej-mesej selainnya adalah tentang manifesto dan perkembangan kempen. Dua puluh satu peratus (21%) mesej BN adalah mengenai isu ekonomi seperti pertumbuhan KDNK dan projek gerbang Melaka. Salah seorang jurucakap BN telah menyuarakan isu seperti pertumbuhan KDNK dan projek gerbang Melaka sebagai bukti kelemahan PH. Kaum dan Agama membentuk dua puluh lima peratus (25%) dari strategi komunikasi BN dimana kebanyakannya digunakan untuk menyerang PH kerana bersikap hipokrit dalam mempromosikan sebuah Malaysia untuk semua. Sebagai contoh, jurucakap BM telah mendakwa PH sebagai pihak yang cuba mempolitikkan isu ‘Timah’ untuk mencetuskan kontroversi terhadap kerajaan, walaupun mereka (BN) adalah dalang disebalik isu ini (dengan mendakwa Timah telah diberikan kelulusan semasa pentadbiran PH). Beberapa mesej juga dikaitkan dengan PAS dan Muafakat Nasional. Mereka mendakwa ini adalah selari dengan polisi UMNO kerana mereka tidak mengabaikan hak dan kelebihan kaum dan agama lain dan melayan semua pihak dengan hormat.

image3

Pakatan Harapan (PH)

Bahagian terbesar mesej-mesej dari PH juga termasuk dalam tema Politik (48%). Gabungan ini telah mencadangkan bekas Menteri Besar sebagai calon yang lebih baik untuk mentadbir negeri itu berdasarkan pengalaman terdahulu melalui perbincangan dan cadangan polisi mengenai isu-isu seperti banjir. Komposisi kedua terbesar mesej-mesej dari PH adalah berkenaan Kaum dan Agama (39%). Kebanyakan mesej PH bertumpukan kepada kutukan terhadap BN, UMNO dan PN dengan mendakwa parti-parti tersebut mengamalkan korupsi, akan mentadbir dengan pecah dan perintah serta  pilih kasih di samping menggunakan sumber yang ada untuk mengkayakan kroni mereka. Mereka (PH) juga menyebut bahawa reaksi BN dan PN terhadap isu Timah menunjukkan parti-parti ini telah mengabaikan hak dan manfaat kaum bukan-Bumiputera, dan menekankan PH akan membentuk sebuah Malaysia yang tidak ditadbir oleh polisi perkauman. Baki mesej-mesej adalah berkaitan Ekonomi (13%) yang menekankan pencapaian terdahulu seperti pemansuhan GST dan menyelamatkan Tabung Haji, dan juga pencapaian pentadbiran mereka di negeri tersebut.

image4

Perikatan Nasional (PN)

Bahagian terbesar mesej-mesej dari PN dikategorikan sebagai Kaum dan Agama (56%). Gabungan ini menawarkan calon-calon berdasarkan faktor keagamaan (contohnya: piawaian peribadi berdasarkan agama tertentu) dan menyeru komuniti agama tertentu untuk bersatu padu. Mesej-mesej utama parti komponen gabungan ini (PAS) kebanyakannya adalah mengenai “Penyatuan Ummah” yang mensasarkan komuniti Muslim. Dengan berpegang teguh kepada nilai dan sikap Islamik, PAS mencadangkan calon-calon mereka sebagai pilihan yang tepat untuk menjadi sebahagian dari kerajaan negeri. Tambahan pula, isu Timah dan pengharaman 4D di Kedah adalah sebahagian dari strategi komunikasi PAS, dimana PAS telah mempertahankan tindakan mereka dengan mendakwa kedua-dua alkohol dan perjudian adalah ditegah oleh semua agama. Komposisi kedua terbesar mesej-mesej dari PN adalah mengenai Politik (25%). Kerjasama antara dua parti komponen dan strategi politik yang menamakan calon wanita untuk jawatan Ketua Menteri telah menarik perhatian pengundi. Baki mesej-mesej adalah berkenaan Ekonomi (19%) dari aspek pemulihan ekonomi nasional selepas pandemik. Salah satu seruan penting oleh gabungan PN adalah untuk mewujudkan kerajaan negeri yang stabil dan bersih di Melaka.

image5

Gambaran Keseluruhan tentang Sebutan Kaum dan Agama berdasarkan Gabungan Parti Politik

Dapatan kami mendedahkan bahawa ‘kaum dan agama’ membentuk peratusan besar dalam strategi komunikasi ketiga-tiga gabungan politik tersebut sewaktu PRN Melaka. Sebagai perbandingan dari aspek jumlah mentions berkaitan kaum dan agama yang disumbangkan oleh parti politik, BN berada di kedudukan teratas untuk topik kaum (terutamanya berkaitan polisi berdasarkan kaum), menyebarkan naratif hak dan keistimewaan bumiputera. Tambahan pula, mereka telah mengadvokasi keperluan untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Manakala, agenda PH memberi tumpuan kepada mempromosikan polisi inklusif kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama dan latarbelakang. PH juga mengkritik BN mengenai keretakan perkauman dan budaya kroni. Sementara itu, PN menerima skor tertinggi dari aspek sebutan berkaitan agama disebabkan oleh slogan kempen mereka iaitu Islam Menyatukan Ummah. Mereka juga adalah pendokong kuat penutupan kedai 4D dan penukaran jenama wiski “Timah”.

Penggunaan kaum dan agama oleh gabungan parti, khususnya untuk menjuarai dan mempertahankan etnik dan agama masing-masing telah menjadi alat penting untuk gabungan parti menarik sokongan dari pengundi kaum dan agama tertentu. Tindakan parti-parti ini mungkin akan memberi kesan terhadap hubungan antara kaum sebagaimana yang dipaparkan melalui ‘skor impak kaum dan agama’ sewaktu PRN Melaka. Perbincangan dan debat yang hangat mengenai kaum dan agama didapati jelas berlaku di media sosial disebabkan oleh mesej-mesej yang disampaikan oleh parti-parti politik. Walaupun terdapat gabungan parti yang membawa mesej-mesej perpaduan, perbalahan berterusan antara gabungan parti yang saling mendakwa mereka adalah rasis menjadi semakin menonjol dan ini menenggelamkan mesej perpaduan tersebut. Ianya adalah penting untuk menyedari bahawa sekiranya kaum dan agama terus digunakan oleh gabungan parti pada pilihan raya akan datang, ianya mungkin akan semakin menjejaskan hubungan antara etnik dan menghalang proses pembinaan negara.

Implikasi untuk Pilihan Raya Akan Datang

Mengambil pengajaran dari projek pemantauan media sosial ini, adalah penting untuk negara kita bergerak ke hadapan dan membina sebuah Malaysia untuk semua rakyat Malaysia, ahli politik dan parti politik sepatutnya bertindak segera dengan menjauhi penggunaan kaum dan agama di dalam politik. Mereka seharusnya menghasilkan polisi yang bermanfaat untuk para pengundi dari semua kaum dan agama dan tidak cenderung terhadap kumpulan etnik tertentu kerana ianya mungkin mencetuskan kegelisahan dan rasa tidak senang hati di kalangan kumpulan etnik lain disebabkan mereka tidak diberikan peluang sama rata. Gabungan parti seperti Barisan Nasional dan Perikatan Nasional perlu berhenti dari terus memainkan isu kaum dan agama di dalam kempen mereka.

Ianya adalah satu ironi dimana di suatu situasi mereka menyeru kepada Malaysia yang bersatu melalui kempen #KeluargaMalaysia dan Rangka Tindakan Perpaduan Nasional dan Pelan Tindakan Perpaduan Nasional 2021 – 2030, manakala pada masa yang sama, mereka berkempen untuk kepentingan kumpulan etnik dan agama tertentu. Oleh itu, kami menggesa semua ahli politik dan parti politik untuk bertindak selari dengan apa yang disampaikan dan tidak mengubah keputusan terhadap polisi yang telah mereka perkenalkan di peringkat persekutuan. Sebagai wakil rakyat, mereka mempunyai tanggungjawab terhadap kesemua rakyat Malaysia dan bukan hanya terhadap kumpulan etnik dan agama tertentu sahaja.

Kami juga menyeru para pengundi untuk memperingatkan wakil rakyat akan tanggungjawab mereka. Sebagai pengundi, kita mempunyai tanggungjawab untuk meneliti senarai calon pilihan raya sebelum membuat pengundian. Kita perlu memilih dengan bijak dan menyelar ahli politik dan parti politik yang menyalahgunakan kaum dan agama untuk kepentingan mereka. Adalah diharapkan berlakunya penurunan penggunaan kaum dan agama di dalam Pilihan Raya Negeri Johor akan datang dan pilihan aya seterusnya.

Pusat KOMAS dengan kerjasama Zanroo Malaysia akan terus melakukan pemantauan media sosial untuk Pilihan Raya Negeri Johor yang akan datang. Untuk Pilihan Raya Negeri Johor, kami akan memberi tumpuan pada strategi komunikasi setiap parti politik mengenai kaum dan agama, dan mengumpul bukti-bukti secukupnya untuk melihat sama ada parti politik dan individu berpengaruh  kekal memberi keutamaan terhadap pola kempen politik yang melibatkan kaum dan agama. Kami berharap terdapatnya perubahan dalam politik Malaysia dimana rakyat dari semua kaum dan agama bebas dari dieksploitasi oleh ahli politik dan dilayan secara adil di tanah air mereka.

TAMAT

Kebolehcakapan [1]: Jumlah hantaran asal mengenai topik tertentu (Kebarangkalian pengguna media sosial untuk memulakan perbualan mengenai topik tersebut)

Interaksi purata mengikut topik [2]: Jumlah interaksi mengenai topik tertentu dibahagikan dengan jumlah hantaran asal topik tersebut (Kebarangkalian pengguna media sosial berinteraksi dengan topik tersebut)