Pusat KOMAS menolak dengan sekeras-kerasnya segala cubaan tidak demokratik yang digunakan oleh segelintir ahli politik Malaysia untuk memperlekehkan mandat yang diberikan oleh Rakyat kepada Pakatan Harapan (PH) untuk menerajui negara kita.

Cadangan untuk melibatkan UMNO dan PAS dalam sebuah situasi dimana wujudnya peluang untuk penubuhan sebuah kerajaan baharu adalah suatu tindakan yang tidak waras. Kedua-dua parti politik ini secara konsisten telah mencaci dan menanamkan sifat kebencian keatas ahli-ahli politik berbangsa Cina dan DAP dengan mensasarkan bangsa mereka.

Ini secara jelasnya menunjukkan bahawa UMNO serta PAS tidak mempunyai minda yang progresif untuk membolehkan mereka bekerjasama dengan parti lain yang merangkumi masyarakat berbilang bangsa. Manakala PH pula hendaklah menegaskan komitmen mereka dalam memberikan keutamaan terhadap keterangkuman, pada masa yang sama memartabatkan meritokrasi dan bukannya kronisme atau nepotisme.

Rakyat biasa hendaklah menilai semula integriti dan kejujuran ahli-ahli politik ini yang telahpun mendedahkan sifat-sifat jijik yang selama ini diselaputi dengan janji-janji serta slogan-slogan “selamatkan Malaysia”. Walhal, mereka hanyalah gilakan kuasa dan untuk mencapainya, pelbagai jenis propaganda digunakan.

Pusat KOMAS ingin menegaskan sekali lagi bahawa parti-parti politik berasaskan kaum merupakan agen yang memecahbelahkan rakyat. Mereka perlulah ditolak sama sekali oleh rakyat Malaysia kerana sejarah telah membuktikan bahawa parti-parti sebegini menunggang agama dan bangsa untuk kepentingan politik mereka sendiri.

Parti-parti seperti UMNO, PAS, MCA, MIC serta BERSATU yang didirikan atas prinsip ini bukan sahaja menyeleweng, malah mereka juga telah berkonspirasi bersama beberapa ahli politik lain dalam cubaan menjatuhkan kerajaan yang dipilih secara demokratik.

Sering kali kita dihujani dengan propaganda politik yang mengatakan parti-parti sebegini hendak mengangkat bangsa mereka dari kancah kemiskinan, sebuah propaganda yang kemungkinan besar akan diteruskan sehingga terpupusnya bangsa manusia.

Namun begitu, tiada parti politik berasaskan kaum yang jujur dalam menghapuskan ataupun mengurangkan jurang kemiskinan ini. Propaganda ini dengan bijaknya digunakan untuk mengkayakan lagi kroni-kroni politik, sementara rakyat kebanyakannya hidup dalam kesusahan.

Oleh itu, Pusat KOMAS ingin menyatakan bahawa kita memerlukan sebuah parti (ataupun parti-parti) Malaysia yang memperjuangkan nasib masyarakat miskin, tertindas dan yang terpinggir.

Kita memerlukan parti politik yang jujur dalam mengubah negara ini untuk kesejahteraan semua dan bukannya segelintir puak-puak elit. Kita memerlukan kepimpinan yang berjuang untuk semua lapisan masyarakat tanpa batasan kaum, agama, kekayaan dan apa jua perbezaan.

Ini adalah masa untuk menerajui Malaysia yang dimiliki oleh semua masyarakat, sebuah Malaysia yang menjadi kebangaan semua.

Dengan segala hormatnya, kami meminta YDP Agong untuk memartabatkan kewajipan perlembagaan Tuanku dalam melindungi demokrasi dan memelihara Malaysia yang inklusif.

Manakala untuk Tun Dr. Mahathir pula, kami meminta anda supaya tidak terikut-ikut dengan ajakan parti dan politik partisan untuk membentuk pakatan dengan parti-parti yang berasaskan kaum. Sebagai rakyat Malaysia yang amat berpengalaman, kebijaksanaan Tun haruslah menyerlah demi kegemilangan Malaysia dan dalam menjayakan aspirasi reformasi negara kesayangan kita semua.

Dikeluarkan oleh,
Pusat KOMAS.
28 Februari 2020.