Ketidakstabilan politik yang melanda Malaysia telah memburukkan lagi pandemik Covid-19 dengan memberi kesan negatif kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Dengan situasi politik semasa di Malaysia yang telah “agak reda”, kami di Pusat KOMAS mengharapkan Perdana Menteri yang baru dilantik, Datuk Seri Ismail Sabri untuk bertindak dengan penuh ikhlas dalam memimpin seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk keluar dari pandemik ini. Kami juga ingin mengingatkan Perdana Menteri, yang juga mantan Timbalan Perdana Menteri Kerajaan Perikatan Nasional, untuk memenuhi janji saat akhir kepada semua rakyat Malaysia berkenaan 7 reformasi antaranya Undi 18 dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.

Kami mengambil sikap optimis tetapi penuh waspada dengan tindakan-tindakan politik terdahulu oleh Datuk Seri Ismail Sabri yang mengakibatkan beliau terpalit dengan beberapa kontroversi akibat memainkan isu perkauman sewaktu berkempen dan tempoh memegang jawatan. Seruan beliau kepada seluruh rakyat Malaysia untuk menerima konsep “Keluarga Malaysia” dengan mengenepikan perbezaan masing-masing dalam isu yang remeh dan memberikan tumpuan dalam memerangi pandemik Covid-19 diharapkan tidak terjejas dengan isu-isu yang senaraikan berikut: Sebelum ini, beliau telah menyeru pengguna-pengguna Melayu supaya menggunakan “kuasa” mereka untuk memboikot etnik minoriti Cina agar menurunkan harga, cadangan beliau untuk menubuhkan kompleks membeli-belah digital “Low Yat 2” khusus untuk peniaga Melayu dan arahan beliau untuk membatalkan tajaan biasiswa MARA bagi ambilan pelajar seterusnya di Taylor’s University susulan dari tindakan universiti tersebut membatalkan perkhidmatan operator bas yang telah menggunakan kenderaan dengan logo universiti tersebut untuk membawa penumpang-penumpang bagi menghadiri Himpunan Maruah Melayu 2015 yang berbaur perkauman.

Kami percaya ini adalah waktu terbaik bagi Perdana Menteri untuk melaksanakan apa yang beliau diucapkan dan menjadi Perdana Menteri kepada seluruh rakyat Malaysia. Hanya dengan berbuat demikian, kita sebagai rakyat Malaysia dari segenap kaum dan agama dapat menjadi sebahagian daripada “Keluarga Malaysia”. YAB Perdana Menteri, hentikanlah perkauman di Malaysia ini.

Disediakan oleh,
Pusat KOMAS
24 Ogos 2021