SSW 6400

Peningkatan mendadak rasisme telah menimbulkan kegusaran di negara kita pada hari ini. Rasisme yang tidak dikekang berpotensi mencetuskan ekstremisme. Golongan ekstremis menolak hak-hak asasi manusia sejagat dan tidak berempati terhadap orang lain serta hak mereka. Mereka juga menolak kepelbagaian dan pluralisme.

Persidangan Kebangsaan Ke-10 yang diadakan pada 22 Mac 2021 dengan tema “Racism Spark Extremism” (“Rasisme Pencetus Ekstremisme”) yang dianjurkan oleh Pusat KOMAS telah meneliti faktor-faktor ini dengan mendalam dengan telahan realiti di lapangan. Barisan panelis untuk sesi pertama dengan tajuk “Staying Separate, Fomenting Suspicion – A Fractured Nation” (“Kekal Terpisah, Mewujudkan Keraguan – Sebuah Negara Yang Retak”) termasuklah Jerald Joseph, Pesuruhjaya SUHAKAM, Rozana Isa, Pengarah Eksekutif Sisters in Islam dan pengasas PUSAKA, Eddin Khoo telah bersetuju bahawa kehidupan multi-etnik tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada keterangkuman oleh kerana keberadaan kaum minoriti di setiap negara adalah satu realiti dan mereka tidak sepatutnya menerima layanan kelas kedua di sesebuah negara. Isu-isu berkenaan rasisme boleh dinisbahkan kepada naratif dan jangkaan yang terjalin akibat seruan yang dilakukan kepada semua kumpulan etnik untuk berada dalam had tertentu yang diputuskan oleh kumpulan majoriti yang dominan. Oleh itu, wujud keperluan untuk kita merungkai identiti perkauman yang telah lama terbina ini dan mula mengenali satu sama lain.

Sesi berikutnya yang bertajuk “Growing Racism Enables Extremism” (“Perkembangan Sikap Rasisme Membolehkan Ekstremisme”) pula telah menjelaskan bahaya sikap rasisme yang berkembang secara halus melalui amalan politik perkauman dan keagamaan. Barisan panelis seperti DCP Normah Ishak, Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Anti Keganasan Bukit Aman; Dina Zaman, Pengasas Bersama IMAN Research dan Thomas K. Samuel, Perunding Wilayah Bahagian Pencegahan Keganasan Pejabat PBB Untuk Dadah dan Jenayah menjelaskan bahawa kitab al-Quran telah memperincikan pendirian Islam berkenaan isu ekstremisme, dimana kepelbagaian etnik perlu diraikan serta prinsip keadilan yang perlu ditegakkan walaupun ianya bertentangan dengan kepentingan peribadi. Anggapan tertentu mengenai ketakutan terhadap kehilangan identiti dan kegagalan kerajaan melindungi orang Melayu telah menyumbang kepada peningkatan sentimen perkauman dan keagamaan terhadap pihak kerajaan. Justeru, pendekatan aman perlu diguna pakai sebagai strategi untuk mengatasi rungutan dan untuk bertindakbalas dengan baik terhadap mereka yang memusuhi dalam usaha merawat luka silam serta mencapai perdamaian.

Dalam bergerak ke hadapan, beberapa cadangan yang dipersetujui di dalam persidangan ini disenaraikan:

  1. Pihak kerajaan perlu mengetuai inisiatif untuk kesedaran sosial dan awam yang meluas melalui kempen bersar-besaran, maklumat untuk masyarakat awam terutamanya melalui sistem pendidikan formal dalam usaha untuk mendidik, mempromosi dan menyemai kesedaran untuk membasmi rasisme dan diskriminasi di setiap peringkat masyarakat termasuklah kesemua segmen penjawat awam.
  2. Pihak kerajaan mestilah mempunyai keazaman untuk hukuman (yang selari dengan norma hak asasi manusia antarabangsa) terhadap mana-mana menteri, pegawai kerajaan, wakil rakyat, pertubuhan dan persatuan, individu, ahli politik dan kumpulan media sosial yang mempamerkan kecenderungan rasisme dan diskriminasi melalui ucapan dan perbuatan mereka. Mereka yang berada di posisi kepimpinan secara formal dan tidak formal mestilah berperanan untuk menyelar dan mengkritik sikap dan tindakan bersifat rasis. Mereka juga perlulah mengelakkan dari mempolitikkan wacana mengenai kepelbagaian, etnik dan agama.
  3. Rakyat perlu mengingatkan wakil rakyat mereka untuk bertanggungjawab terhadap setiap tindakan mereka. Rakyat harus menasihati wakil rakyat mereka sekiranya ada tindakan yang bersifat rasis dan menindas di dalam ucapan serta tingkah laku wakil rakyat mereka.
  4. Kerajaan perlu menubuhkan Suruhanjaya Menangani Rasisme dengan kuasa perundangan yang khusus untuk menguruskan laporan berkenaan rasisme dan diskriminasi kaum.

Disediakan oleh,
Pusat KOMAS
23 Mac 2021