Pusat KOMAS terkilan dengan komen “Type C” yang dikeluarkan di media sosial baru-baru ini oleh restoran tempatan Darsa Fried Chicken yang baru dibuka, yang mendapat kritikan kerana meniup api perkauman.

Kami, Pusat KOMAS, menyokong gesaan naib pengerusi DAP Teresa Kok untuk semua pihak kekal tenang bagi mengatasi insiden terkini dalam rentetan isu berkaitan kaum dan agama di negara ini.

DarSa

Melalui kenyataan maaf yang dikeluarkan semalam, DarSa yang terajui “100 peratus milik bumiputera” memohon maaf dan menyifatkannya sebagai “kesilapan yang tidak disengajakan”.

Perkauman, diskriminasi kaum dan xenofobia yang semakin membarah saban hari ini menjadi penghalang kepada kemajuan manusia di seluruh dunia. Malangnya rakyat Malaysia juga terjebak daripada masalah yang berakar umbi ini apabila sudah menjadi norma rakyat untuk menyebarkan stereotaip negatif berasaskan perkauman antara satu sama lain. Terutamanya dalam sektor perniagaan, amalan ini tidak wajar dinormalisasikan.

Walaupun Darsa Fried Chicken telah mengeluarkan kenyataan permohonan maaf, namun, sentimen perkauman sepatutnya tidak wajar dipermainkan sejak awal lagi. Sentimen perkauman yang dimainkan ini bukan sahaja tidak membawa faedah kepada mana-mana individu, malah hanya akan memecah belahkan rakyat Malaysia sebagai negara yang berbilang kaum.

Telah terbukit bahawa penggunaan sentimen perkauman dalam perniagaan tidak pasti akan berjaya. Ambil contoh, Mara Digital Mall, yang merupakan cetusan idea menteri Kemajuan Desa dan Wilayah ketika itu Ismail Sabri Yaakob pada tahun 2015.

Bangunan Mara Digital Mall ini mulanya dibangunkan di Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur dan cawangan seterusnya berada di Shah Alam, Johor Bahru dan Kuantan.

Menjelang 2019, bagaimanapun, kementerian tersebut dalam jawapan parlimen melaporkan penutupan pusat beli-belah Kuantan pada Disember 2018, cawangan Shah Alam pada 2018, dan Johor

Bahru pada Februari 2019. Pada 2022, peruncit pusat membeli-belah mendakwa mereka telah beroperasi dengan kerugian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan pendapatan mereka menjunam dengan pandemik Covid-19.

Daripada menyokong perniagaan kerana pertalian kaum dan agama, perniagaan Malaysia mesti bersaing secara sihat berdasarkan faktor yang relevan seperti kualiti produk dan nilai untuk wangnya. Pengguna Malaysia juga mesti lebih peka tentang pihak yang cuba memecahbelahkan keharmonian negara kita dalam kehidupan seharian kita.

Namun begitu, Pusat KOMAS ingin mengingatkan rakyat Malaysia untuk berhati-hati dalam membuat keputusan untuk memboikot Darsa Fried Chicken seperti yang digesa sesetengah netizen. Reaksi tergesa-gesa terhadap isu ini hanya akan lebih menjejaskan ekonomi Malaysia seperti penutupan 100 cawangan Kentucky Fried Chicken di seluruh negara baru-baru ini.

Pusat KOMAS mengiktiraf bahawa terdapat merit dalam mempromosikan rangkaian makanan 100% buatan Malaysia seperti Darsa Fried Chicken. Pada masa yang sama, kami berharap Darsa Fried Chicken mengambil insiden ini sebagai pengajaran bahawa perniagaan yang beroperasi di atas platform perkauman adalah tidak wajar terutamanya di dalam negara Malaysia yang berbilang budaya dan kaum. Para peniaga juga diingatkan untuk mengelakkan penggunaan kad perkauman dalam promosi perniagaan mereka.

Kenyataan media oleh Pusat KOMAS
7 Mei 2024