Pusat KOMAS kecewa dengan kenyataan media yang dikeluarkan oleh Dato’ Sri Dr Adham Baba, Menteri Kesihatan Malaysia pada 23 Jun 2021 berkaitan satu laporan berita bertajuk “Teliti Semula Urusan Pengambilan Pegawai Perubatan”. Kami bersetuju dengan pandangan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bahawa prejudis perkauman dan keagamaan tidak sepatutnya mempengaruhi proses pemilihan sebahagian pegawai kontrak untuk dilantik ke jawatan tetap.

Kaum, agama, etnik dan jantina tidak sepatutnya menjadi faktor yang mempengaruhi sebarang bentuk peluang pekerjaan. Sebaliknya, bakat dan kebolehan seseorang sepatutnya menjadi penentu dalam pelantikan sedemikian. Justeru itu, kenyataan media terkini oleh Dato’ Sri Adham Baba yang mengambil maklum akan cadangan oleh Dr Zainal Ariffin, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) dan Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (PERDIM) untuk membolehkan lebih ramai graduan perubatan “khususnya dalam kalangan bumiputera” adalah tidak wajar. Sebagai Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Adham Baba sepatutnya mengetuai usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia dengan mengutuk dan menolak cadangan pengambilan pegawai perubatan berdasarkan garis perkauman.

Walaupun Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskan bahawa pelantikan pegawai perubatan secara tetap selama ini dibuat atas dasar merit dan prestasi mereka sewaktu latihan siswazah, kini tiba masanya untuk Kementerian Kesihatan perlu memastikan ketelusan proses penilaian untuk mengelakkan keraguan sekiranya wujudnya amalan-amalan yang bersifat menindas ini. Sudah terlalu lama kita mendengar janji kerajaan untuk mengambil pendekatan berasaskan merit di dalam proses pengambilan kerja, namun, tiada bukti yang ditunjukkan untuk mengesahkan dakwaan ini.

Kami juga ingin mengingatkan Dato’ Sri Adham Baba, PPPKAM dan PERDIM bahawa kerjaya perubatan adalah terikat dengan Deklarasi Geneva yang merupakan dasar terawal Persatuan Perubatan Sedunia (WMA) yang berasaskan prinsip-prinsip Hippokrates. Sebarang bentuk “pertimbangan berdasarkan usia, penyakit dan kecacatan, kepercayaan, etnik, jantina, kewarganegaraan, fahaman politik, kaum, orientasi seksual, kedudukan sosial atau apa jua faktor untuk campur tangan” di antara tugas pegawai perubatan dan pesakit mereka adalah tidak dibenarkan. Dalam nada yang sama, pelantikan pegawai perubatan tidak sepatutnya dibuat berdasarkan kaum, agama, etnik dan jantina. Amalan-amalan diskriminasi seumpama ini tiada tempat di Malaysia.

Jangan jadikan Sumpah Hippokrates anda kepada Sumpah Hipokrit. Hentikan semua jenis diskriminasi perkauman dan keagamaan di Malaysia. Negara ini memerlukan kepimpinan yang lebih baik untuk memberi khidmat kepada semua rakyat Malaysia.

Disediakan oleh
Pusat KOMAS
28 Jun 2021