Pusat KOMAS kecewa dengan tindakan para DJ ERA FM baru-baru ini yang mempersendakan adat dan upacara suci yang diamalkan semasa perayaan Hindu, iaitu Thaipusam, sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat Malaysia. Insiden ini menggariskan keperluan mendesak untuk meningkatkan kepekaan budaya dan agama dalam kalangan masyarakat kita yang berbilang kaum.

Pusat KOMAS mengambil maklum terhadap permohonan maaf secara terbuka yang telah dibuat oleh Azad Jasmin, Nabil Ahmad, dan Radin Amir Affendy. Namun begitu, ini bukanlah insiden luar biasa. Kita telah pun menyaksikan secara berkali-kali tokoh awam, personaliti media, ahli politik, dan individu lain menghina, meremehkan, dan mengeksploitasi adat serta kepercayaan pelbagai komuniti. ERA FM juga perlu bertanggungjawab dalam menapis dan memastikan kandungan media sosial yang dimuat naik adalah sesuai untuk untuk penyiaran awam. Tindakan sebegini akan mengakibatkan pengaruh buruk kepada orang lain untuk terus menyebarkan retorik kebencian dengan lebih giat, sepertimana yang dibuktikan oleh Zamri Vinoth dan netizen lain. Tingkah laku seperti ini bukan sahaja tidak menghormati hak asasi yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi juga berpotensi menggugat perpaduan masyarakat Malaysia.

Pusat KOMAS mengambil maklum bahawa pihak berkuasa telah memulakan siasatan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Walau bagaimanapun, tindakan undang-undang hanya berfungsi sebagai langkah pencegahan dan tidak menangani punca pokok berlakunya insiden seperti ini. Kekurangan usaha sistemik dalam memupuk persefahaman antara satu sama lain serta tindak balas perundangan dalam kes-kes tertentu berdasarkan kemarahan orang ramai tidak mampu mengelak insiden yang sama daripada berulang atau membawa kepada perubahan yang bermakna.

Insiden ini sekali lagi menggariskan keperluan mendesak untuk menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional – sebuah badan bebas yang bertanggungjawab dalam menangani ketegangan kaum dan agama, memupuk persefahaman, serta menggalakkan kesepaduan sosial jangka panjang. Suruhanjaya ini akan menyediakan penyelesaian yang konsisten dan bermakna dalam menangani konflik antara komuniti serta menasihati pihak kerajaan untuk memastikan langkah-langkah untuk mendidik dan memulih diutamakan berbanding tindakan bersifat menghukum.

Pusat KOMAS menggesa kerajaan untuk benar-benar mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya tersebut sebagai sebahagian daripada matlamat nasional yang lebih luas dalam memperkukuhkan perpaduan sosial dan menghentikan kitaran perpecahan ini. Kami juga menyeru semua pengamal media dan tokoh awam agar lebih peka terhadap pengaruh mereka serta komited untuk menegakkan prinsip hormat-menghormati, keterangkuman, dan perpaduan dalam setiap bentuk komunikasi.