PETALING JAYA, 21/3/2025 – Sempena Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Diskriminasi Kaum, Pusat KOMAS menyeru tindakan segera untuk diambil bagi menghapuskan masalah perkauman dan diskriminasi kaum di Malaysia.

Di Malaysia, diskriminasi kaum kekal sebagai isu mendalam yang mempengaruhi dasar, institusi, dan interaksi harian sesama. Perkauman terus menggugat keharmonian sosial melalui retorik politik dan ketiadaan dasar untuk menangani isu isu diskriminasi dan ucapan kebencian (hate speech). Maka, Pusat KOMAS melancarkan Malaysia Racism Report 2024 dan “Malaysia Racism Report: A Decade in Review (2015-2024)” – satu tinjauan retrospektif khas yang menyoroti corak-corak utama dan cabaran sistematik yang kita menghadapi sebagai rakyat Malaysia sepanjang dekad yang lalu.

Penemuan utama daripada Laporan 2024 termasuk:

  • Politik perkauman kekal berleluasa, menyemarakkan perpecahan dan kebencian;
  • Komuniti yang dipinggirkan seperti pelarian Rohingya, migran dan masyarakat Orang Asli teru berdepan diskriminasi dalam pendidikan dan pekerjaan;
  • Dasar berasaskan kaum terus ditegaskan, dibela dan disokong oleh segelintir rakyat di Malaysia, walaupun tindakan yang lebih inklusif dan lestari seringkali diseru;
  • Media sosial masih menjadi platform untuk naratif rasisme, hate speech dan maklumat salah (misinformation) yang tidak dikawal.

Analisa Laporan Rasisme kami sepanjang dekad lalu juga memberikan perspektif penting mengenai corak rasisme di negara kita:

  • Politik perkauman terus menguasai wacana kebangsaan dan menyekat usaha reformasi;
  • Malaysia masih tidak mempunyai undang-undang dan dasar anti-diskriminasi yang menyeluruh, walaupun adanya percubaan untuk membawa perbincangan ini ke arus perdana.

Pusat KOMAS mencadangkan beberapa langkah ke arah membentuk sebuah Malaysia yang lebih inklusif berikutan penemuan kami di atas, iaitu:

  1. Menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian Nasional yang bebas bagi memantau dan mengawal ketengangan kaum dan agama di Malaysia;
  2. Mengalihkan dasar tindakan afirmatif (afirmative action policies) kepada dasar yang berasaskan keperluan (needs-based policies) untuk menangani ketidaksamaan sosial dan ekonomi;
  3. Menggubal undang-undang dan dasar baharu serta memperkukuhkan yang sedia ada, lalu mendesak institusi seperti SUHAKAM, SPR dan lain lain agar lebih prihatin terhadap isu perkauman;
  4. Melaksanakan latihan sensitiviti kaum untuk kakitangan sektor awam dan swasta;
  5. Membina program literasi media dan pemikiran kritikal di sekolah bagi membanteras pengaruh misinformation dan retorik berbahaya dari peringkat awal;
  6. Melibatkan pelbagai pihak berkepentingan (penggubal dasar, NGO, ahli akademik, media dan lain-lain) dalam menangani isu perpaduan sosial di kalangan masyarakat di Malaysia.

Malaysia tidak boleh berdiam diri dan membenarkan perkauman terus berleluasa. Sempena hari yang penuh bermakna ini, Pusat KOMAS menggesa kerajaan, institusi, media dan rakyat kita untuk mengambil langkah yang kukuh ke arah keadilan. Perkauman bukan sekadar isu yang pernah berlaku di dalam sejarah kita tetapi ia merupakan realiti masa kini yang perlu di tangani dengan penuh keberanian dan komitmen. Laporan-laporan yang dilancarkan ini adalah suatu seruan untuk bertindak ke arah perubahan.

Kedua-dua laporan akan dimuat naik di laman web rasmi kami.