Pusat KOMAS kecewa dengan penggunaan kaum dan agama berulang kali oleh para ahli politik dan parti politik semasa kempen pilihan raya. Berdasarkan kenyataan yang baru dikeluarkan oleh Architects of Diversity (AoD), sekurang-kurangnya 17 kali isu kaum dan agama digunakan semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-15. Sekali lagi, calon-calon dan parti-parti dari kesemua pakatan politik, iaitu Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan didapati menggunakan kaum dan agama dalam kempen mereka.

Ianya adalah suatu keadaan yang ironi dimana ahli-ahli politik dan parti-parti politik mendakwa menjadi pejuang untuk Malaysia yang inklusif, tetapi pada waktu yang sama mereka masih menggunakan perkauman dan keagamaan untuk menarik sokongan pengundi. Kaum dan agama selalu digunakan oleh ahli politik sebagai alat mengekalkan kuasa dan mengawal pengundi dalam kawasan pilihan raya mereka. Tindakan sebegini akan mendatangkan kesan buruk menerusi pembentukan stereotaip dan prasangka negatif dalam kalangan masyarakat. Sesudah pengundian dilakukan, kesan politik perkauman dan keagamaan terus berkekalan dan menjejaskan asas kemasyarakatan.

Berdasarkan dapatan awal daripada projek pemantauan media sosial Pusat KOMAS yang menggunakan teknologi terkini dalam bidang analisa media sosial, terdapat beberapa tema perbualan dalam media sosial mengenai kaum dan agama yang berterusan muncul dalam ruang perbincangan awam yang melibatkan warganet. Tema-tema yang dikenalpasti termasuklah: (1) politik keagamaan; (2) hasutan perkauman; (3) tindakan afirmatif; (4) unsur perkauman dalam pendidikan; (5) memperkaumkan insiden jenayah, dan; (6) usaha menentang perkauman dan memupuk perpaduan negara.

BM Lampiran Infografik

Daripada maklumat yang tertera di atas, sentimen di media sosial kelihatan negatif. Jumlah mention berkaitan usaha menentang perkauman dan memupuk perpaduan negara sangat rendah. Dapatan awal kami mencadangkan bahawa sentimen di media sosial mengenai kaum dan agama adalah sangat negatif. Walaupun terdapat kemungkinan bahawa sentimen yang direkodkan tidak mewakili pandangan rakyat di lapangan, ia masih dapat menjadi petunjuk situasi ketegangan antara kaum dalam negara kami.

Kami menggesa semua calon pilihan raya dan parti politik menghentikan penggunaan kaum dan agama dalam tempoh yang berbaki dan menumpukan perhatian kepada isu yang lebih mustahak, seperti tadbir urus yang baik, ekonomi dan pendidikan. Jangan mengambil kesempatan di atas hubungan antara kaum untuk keuntungan politik yang bersifat sementara dengan mengorbankan asas hubungan yang mengikat kita bersama. Kami berharap para pengundi di Melaka menolak ahli-ahli politik dan parti-parti politik yang menggunakan kaum dan agama sebagai alat politik mereka, dan sebaliknya memilih berdasarkan kebolehan, khidmat dan polisi calon-calon pilihan raya. Kami dari Pusat KOMAS akan terus memantau platform media sosial untuk mengenalpasti tanda-tanda dan tren politik perkauman dan keagamaan sehingga saat akhir tempoh kempen pilihan raya. Laporan penuh akan diterbitkan setelah PRN Melaka tamat.

Disediakan oleh,
Pusat KOMAS
19 November 2021