Kami menyelar kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh seorang ahli parti yang merupakan sebahagian daripada kerajaan terhadap pemain badminton kebangsaan. Ianya bertentangan sama sekali dengan semangat konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang baru sahaja diumumkan oleh Perdana Menteri, kesepaduan sosial yang dibina dan juga kesukanan.

Kita telah menyaksikan peningkatan kejadian dimana individu, kumpulan dan parti politik meniupkan sentimen perkauman dan keagamaan secara sedar atau kerana kejahilan sejak beberapa bulan ini. Kami menolak pendekatan ini terutamanya ketika waktu sebegini kerana di waktu sebegini masyarakat memerlukan kesepaduan untuk mengatasi kesan pandemik Covid-19 dan ianya telah mewujudkan perselisihan di kalangan masyarakat.

Kami memuji langkah-langkah Kementerian Perpaduan Negara dalam memberi reaksi terhadap isu tersebut, namun begitu, kami percaya bahawa Kementerian sepatutnya dapat melakukan lebih lagi dalam menangani isu perkauman dan diskriminasi kaum di Malaysia berbanding dengan merespon kepada isu tersebut setelah ianya dijadikan polemik. Kementerian seharusnya menangani isu perkauman dan keagamaan di media sosial, termasuk memantau dan menguatkuasa serta mendidik masyarakat awam mengenai etika dan undang-undang berkaitan penggunaan media sosial seperti yang digariskan di dalam Rangka Tindakan Perpaduan Nasional yang diterbitkan pada Februari 2021. Kerajaan Malaysia perlu mengulang pendiriannya dalam melawan segala bentuk rasisme di Malaysia melalui tindakan terutamanya melalui polisi dan inisiatif yang memberi manfaat kepada semua kumpulan etnik dan bukan sekadar melaungkan idea ‘Keluarga Malaysia’ di dalam ucapan dan kenyataan.

Kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Faizal Azumu, Menteri Belia dan Sukan merangkap Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) terhadap ahli parti beliau yang terbabit dalam isu ini amat dialu-alukan. Walaupun begitu, ini bukanlah suatu insiden yang terasing kerana terdapat ramai individu yang mewakili parti politik lain yang didapati mencetuskan sentimen perkauman dan agama tanpa dikenakan tindakan. Kami menyeru semua parti politik untuk mengenakan tindakan rasmi selari dengan norma hak asasi antarabangsa ke atas semua ahli atau pimpinan parti yang mempamerkan kecenderungan perkauman atau penindasan melalui ucapan mahupun tindakan.

Kami menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk mengecam dan melawan sikap perkauman di dalam semua sektor untuk memastikan sebuah negara yang progresif dan terangkum dapat dibina. Hanya dengan yang demikian barulah kita dapat memberi makna kepada ‘Keluarga Malaysia’. Cukuplah dengan berslogan, kini tiba masa untuk membuktikan kata-kata tersebut.

Disediakan oleh,
Pusat KOMAS
4 Oktober 2021