Pusat KOMAS menyuarakan kekecewaannya berhubung ucapan terkini kepada pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) oleh YBhg. Datuk Wira Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (Asyraf Wajdi), Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA). Dalam ucapannya, beliau berucap mengenai kepentingan mempertahankan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memaktubkan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak untuk memperoleh keistimewaan khusus berkaitan pendidikan, perkhidmatan awam, permit, dan lesen. Di samping itu, Datuk Wira Dr. Asyraf menyeru para pelajar UiTM untuk memastikan “hak” ini terus dilindungi untuk masa-masa akan datang.
Dalam ucapan Asyraf Wajdi, beliau turut memberi amaran kepada pelajar UiTM sendiri agar tidak menjadi penyokong kepada kesamarataan. Kami di Pusat KOMAS ingin menegaskan semula bahawa Perkara 153, pada dasarnya, merupakan satu langkah untuk mempromosikan kesaksamaan dengan matlamat mencapai kesamarataan. Kedudukan dan keistimewaan khusus yang diberikan kepada komuniti berkenaan menerusi Perkara 153 adalah disebabkan oleh jurang perbezaan yang wujud sejak zaman penjajahan, sepertimana yang dinyatakan oleh Asyraf Wajdi dalam ucapannya. Justeru, ia bertindak sebagai dasar tindakan afirmatif (affirmative action) yang bertujuan untuk merapatkan jurang sosioekonomi ini dan bukannya satu hak.
Dalam Laporan Suruhanjaya Reid 1957 yang menjadi asas kepada penggubalan Perlembagaan Persekutuan kita, Perkara 165 menyatakan perkara berikut:
“…orang Melayu perlu dijamin bahawa kedudukan semasa akan berterusan untuk tempoh yang ketara, tetapi dalam pada itu keutamaan semasa hendaklah dikurangkan, dan akhirnya dihentikan supaya tidak wujud sebarang diskriminasi antara kaum atau komuniti.”
Ini menunjukkan bahawa keistimewaan yang diberikan dalam Perkara 153 tidak disyorkan untuk wujud selama-lamanya, sebaliknya dipinda berdasarkan keperluan. Seruan Asyraf Wajdi agar pelajar UiTM “mempertahankan” peruntukan ini demi generasi akan datang menghilangkan tujuan asal Perkara 153 di samping memberi gambaran bahawa tiada titik pengakhiran bagi jurang sosioekonomi yang sepatutnya ditangani oleh Perkara 153.
Selain itu, gambaran bahawa Perkara 153 sebagai satu “hak” menjejaskan hakikat sebenar peruntukan tersebut. Ia juga menjejaskan Perlembagaan yang secara jelas memperuntukkan kesamarataan di sisi undang-undang untuk semua orang sebagai Kebebasan Asasi seperti yang terkandung dalam Perkara 8. Apabila Perkara 153 dibaca secara menyeluruh (yang gagal disebut oleh Asyraf Wajdi), ia ternyata bahawa perlindungan Perlembagaan terhadap “kepentingan sah” komuniti lain tetap ada, yang sekaligus menjadikan peruntukan ini satu langkah perlindungan yang merentasi hanya orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. Oleh yang demikian, kami menggesa sesiapa sahaja yang membaca atau merujuk kepada Perkara 153 untuk membacanya secara keseluruhan.
Malaysia dan pemimpin-pemimpinnya sentiasa menyokong perlakuan yang saksama dan adil terhadap golongan yang terpinggir di seluruh dunia, termasuk di Palestin, Syria, Myanmar, serta banyak negara lain. Oleh itu, Pusat KOMAS menggesa tokoh-tokoh terkemuka seperti Asyraf Wajdi untuk mengelak daripada terus mempromosikan dan memberi pandangan yang terpesong mengenai Perkara 153 di tanah air kita pula. Kami berharap langkah-langkah tindakan afirmatif yang diperuntukkan oleh undang-undang diiktiraf dan diamalkan sebagai alat demi kesaksamaan dan bukan untuk memecahbelahkan lagi masyarakat Malaysia.