Pusat KOMAS amat prihatin dengan pengusiran baru-baru ini terhadap komuniti Bajau Laut di Semporna, Sabah. NGO Borneo Komrad mendakwa etnik Bajau Laut di Semporna, Sabah diusir pihak berkuasa dengan rumah atas air yang dihuni mereka dirobohkan.
Menurut pengasasnya Mukmin Nantang, operasi itu dibuat semalam dan hari ini, melibatkan etnik Bajau Laut yang tinggal di tujuh pulau di Semporna, antaranya Pulau Bohey Dulang, Pulau Maiga, Pulau Bodgaya, Pulau Sebangkat dan Pulau Sibuan.
Perobohan rumah-rumah mereka ini menonjolkan isu kritikal mengenai perkauman, ketidakadilan pembangunan, dan masalah tanpa kewarganegaraan di Sabah.
Etnik Bajau Laut – yang mengamalkan cara hidup berpindah-randah di laut dan tinggal di perahu-perahu kecil atau rumah-rumah yang di bina atas air – menghadapi diskriminasi sistematik. Pengusiran paksa ini menimbulkan persoalan serius tentang layanan saksama terhadap kaum minoriti di Malaysia. Adalah penting untuk memastikan semua komuniti dihormati dan dilindungi di bawah undang-undang hak asasi manusia nasional dan antarabangsa.
Undang-undang hak asasi manusia menetapkan bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan sama dalam martabat dan hak. Artikel 7 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) mengesahkan bahawa “semua orang adalah sama di hadapan undang-undang dan berhak tanpa diskriminasi kepada perlindungan yang sama di bawah undang-undang.” Begitu juga, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan di bawah Artikel 8 bahawa semua warganegara akan diberi perlindungan yang sama di bawah undang-undang dan diskriminasi adalah dilarang berdasarkan agama, kaum, keturunan, tempat lahir, atau jantina.
Patut juga ditanya: Dari siapa ‘pihak berkuasa’ ini menerima mandat untuk melakukan pemusnahan ganas seperti ini? Mereka mesti bertanggungjawab atas pengusiran paksa komuniti Bajau Laut di sini.
Prinsip matlamat United Nations’ “Leave No One Behind” mesti dipatuhi untuk memastikan pembangunan inklusif bagi semua komuniti. Pembangunan mampan harus melibatkan perancangan menyeluruh yang mengambil kira keperluan dan hak orang asli. Pengusiran komuniti Bajau Laut tanpa perundingan yang mencukupi atau penyelesaian perumahan alternatif menggambarkan kegagalan untuk mengimbangi pembangunan dengan keadilan sosial. Menyediakan rumah alternatif untuk orang tanpa kewarganegaraan adalah penting untuk menghapuskan masalah tanpa kewarganegaraan – satu langkah penting untuk menjamin hak asasi manusia sejagat.
Tambahan pula, status kewarganegaraan banyak individu Bajau Laut menyukarkan mereka untuk menuntut hak dan perlindungan undang-undang. Ramai yang tidak mempunyai dokumen pengenalan yang sah, memburukkan lagi kerentanan mereka terhadap pengusiran dan bentuk disenfranchisement lain.
Menangani isu dokumentasi ini adalah penting untuk memastikan mereka mendapat layanan adil dan akses kepada perkhidmatan asas. Marilah kita diingatkan dengan seruan Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia United Nations Volker Türk baru-baru ini untuk mengakhiri masalah tanpa kewarganegaraan, dalam pelbagai bentuknya, semasa ucapan yang dibuat pada akhir misinya ke Malaysia minggu ini.
Türk berkata: “How a society treats its most vulnerable is a key measure of progress, and indeed a litmus test for social and human rights protection. I welcome the Malaysia Madani national vision, which is about humanity, inclusivity, sustainability as well as just and effective governance.
“I welcome the proposed constitutional amendment to enable Malaysian women to pass citizenship on to their children on the same basis as Malaysian men. I hope that all possible steps will be taken to address other forms of statelessness.”
(“Bagaimana sebuah masyarakat melayan golongan yang paling terdedah adalah ukuran kemajuan yang penting, dan memang merupakan ujian litmus untuk perlindungan sosial dan hak asasi manusia. Saya menyambut baik visi nasional Malaysia Madani, yang mengenai kemanusiaan, inklusiviti, kelestarian serta tadbir urus yang adil dan berkesan.
“Saya menyambut baik cadangan pindaan perlembagaan untuk membolehkan wanita Malaysia memberikan kewarganegaraan kepada anak-anak mereka atas dasar yang sama dengan lelaki Malaysia. Saya berharap semua langkah yang mungkin akan diambil untuk menangani bentuk-bentuk lain tanpa kewarganegaraan.”)
Pusat KOMAS dengan hormat menggesa pihak berkuasa tempatan untuk menghentikan pengusiran selanjutnya dan melibatkan diri dalam dialog yang bermakna dengan komuniti Bajau Laut untuk mencari penyelesaian yang berperikemanusiaan dan adil. Isu tanpa kewarganegaraan telah merumitkan kehidupan beberapa generasi, terutamanya di negeri Sabah. Tahun lepas, ia dilaporkan bahawa Suhakam menerima kira-kira 5,440 aduan dari 2015 hingga 2020 – dengan banyak kes yang disiasat mengenai isu kewarganegaraan di Sabah sahaja.
Pusat KOMAS memahami bahawa ini adalah isu yang sukar dan pelbagai aspek, namun, mengelakkan isu ini bukanlah penyelesaian yang diperlukan oleh negara kita. Kerajaan negeri dan persekutuan mesti mengambil inisiatif untuk menghadapi isu ini secara langsung, untuk mengelakkan lebih banyak generasi kanak-kanak tanpa kewarganegaraan di Malaysia. Mengeluarkan orang dari rumah mereka hanya akan memindahkan masalah ke tempat lain, bukannya menyelesaikannya.
Disediakan oleh Pusat KOMAS
6 Jun 2024