MENGAPA?

Setiap hari kita berdepan dengan cabaran besar yang mula menggoncang asas negara ini. Keamanan dan keharmonian masyarakat kita yang berbilang kaum, berbilang agama dan berbilang budaya sedang terancam.

Politik berasaskan etnik, perkauman, dan kekelompokan terus-menerus menggugat proses pembinaan sebuah negara yang inklusif serta mengganggu proses pembentukan jatidiri Bangsa Malaysia. Agama semakin dipergunakan sebagai pengukur jatidiri yang utama, selain dijadikan tembok yang memisahkan-misahkan anggota masyarakat.

Terdapat parti politik dan pertubuhan-pertubuhan sekutu mereka lebih memberikan tumpuan terhadap peluasan kuasa dan pengaruh mereka berbanding usaha membina negara. Mereka menjalankan agenda yang bersifat sementara dan berjangka pendek, bukan agenda perubahan dan berjangka panjang.

Sentimen kaum dan agama diperguna serta diperalatkan sehingga menjejaskan semangat tolak-ansur dan mencambahkan sifat taksub dan melampau. Keganasan politik juga telah mula bertunas. Ini adalah petanda adanya arus berbahaya yang sedang bergolak di bawah permukaan masyarakat.

Kerajaan, entah kerana lumrah atau disengajakan, gagal menanggapi perkembangan yang memudaratkan ini. Kerajaan juga gagal memainkan peranan sebagai juri yang jujur dalam menguruskan pertembungan dalam masyarakat.

APA?

Kami percaya sebahagian besar rakyat negara ini mahu politik perkauman dan keagamaan berakhir.

Kita perlu menebus kembali Malaysia, kerana kita sepenuhnya sedar rakyat negara ini disatukan oleh sejarah bersama serta sama-sama menginginkan negara dan masa depan yang sejahtera.

Kita perlu bertindak sebelum masyarakat semakin goncang.

Pakatan “Negara-ku” berhasrat menggerakkan dan mendorong rakyat untuk:

  • –          Menolak semua jenis ketaksuban, kebencian, kekerasan, serta sikap melampau dan tidak bertolak-ansur;
  • –          Menentang semua bentuk diskriminasi, penindasan dan ketidakadilan;
  • –          Berusaha membentuk masyarakat yang inklusif;
  • –          Menggesa kerajaan dan lembaga-lembaga kerajaan untuk menghormati, mematuhi dan menjunjung Kedaulatan Undang-undang; dan
  • –          Menuntut kepatuhan terhadap prinsip kepengawasan, integriti, kebertanggungjawaban, dan ketelusan pada semua sudut urus tadbir.

Kami akan berusaha mencapai semua ini dengan kembali kepada perkara-perkara asas, iaitu:

  • –          Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara;
  • –          Perjanjian Malaysia; dan
  • –          Rukunegara, sebagai pemandu matlamat dan nilai negara

Menerusi proses melibatkan dan mengupayakan masyarakat, kita berusaha untuk “MENYEMBUHKAN NEGARA” dan “MEMULIHKAN HARAPAN” demi masa depan bersama.