FC photo

Kami – pertubuhan masyarakat sivil yang disenaraikan berikut – mengecam kenyataan yang dibuat oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Perdana Menteri berkenaan janji beliau untuk memerangi sekularisme dan liberalisme melalui Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan gabungan bersama UMNO dan PAS. Menyedari ketidakstabilan Kerajaan PN yang dipimpin, beliau telah memilih taktik lapuk untuk menyerang prinsip-prinsip sekularisme dan liberalisme demi mengekalkan sokongan dari kelompok fundamentalis agama dan kaum.

Kami ingin mengingatkan Perdana Menteri berkenaan konteks perlembagaan dan sejarah mengenai kemerdekaan Malaya dan seterusnya pembentukan Malaysia melalui MA63 dengan persetujuan bersama Malaya, Sabah, Sarawak dan – untuk tempoh yang singkat – Singapura. Negeri-negeri ini bersepakat untuk pembentukan negara Malaysia yang sekular, bukan sebuah Negara Islam.

Suruhanjaya Reid yang menyediakan draf Perlembagaan Persekutuan dengan jelas mengiktiraf “Islam sebagai agama rasmi Persekutuan, tetapi ianya tidak seharusnya mengenakan halangan kepada warganegara bukan-Muslim untuk mengamalkan agama mereka dan tidak bermaksud bahawa negara itu bukan negara sekular “. Pendirian ini telah dipegang secara berterusan oleh Tunku Abdul Rahman – yang mana ulangtahun ke-30 pemergian beliau jatuh pada tanggal 6 Disember – dan Parti Perikatan yang dipimpin beliau.

Oleh kerana Perdana Menteri kelihatan terpisah daripada hakikat yang penting ini, kami berharap penjelasan ini dapat menghalang beliau daripada terus memutarbelitkan fakta untuk mencapai cita-cita politik beliau yang hanya mementingkan diri sendiri. Kami juga berharap kenyataan ini dapat memberikan pencerahan kepada Perdana Menteri mengenai sekularisme dan liberalisme. Kedua-dua sekolah pemikiran tersebut membudayakan kerjasama, menggalakkan keharmonian dan membentuk penerimaan berdasarkan pengakuan dan menghormati perbezaan di dalam masyarakat. Menerima kepelbagaian dan meraikan kekuatannya adalah asas di dalam motto kebangsaan kita iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”.

Dalam konteks Malaysia, sekularisme menjuarai kerjasama antara etnik yang positif dimana ianya akan mengekang penindasan terhadap mana-mana individu atau kelompok berdasarkan pegangan agama atau etnik. Perdana Menteri perlu memahami bahawa pemisahan agama dari politik, melindungi kebebasan beragama serta menghormati kepercayaan semua pegangan agama adalah prinsip-prinsip utama sekularisme yang mendasari pembinaan negara kita ini dan bukanlah dengan memomok serta memberikan gambaran yang tidak benar mengenai sekularisme.

Mengenai liberalisme, kami terpanggil untuk menekankan semula mengenai nilai-nilai liberal yang terkandung di dalam bahagian pengenalan Rukun Negara yang berperanan sebagai ideologi kebangsaan seperti berikut:

  • Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat,
  • Memelihara satu cara hidup demokratik,
  • Mencipta satu masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama,
  • Membentuk satu sikap yang liberal terhadap tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak, dan
  • Membina sebuah masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.

Bantahan yang dibuat oleh beliau terhadap liberalisme membangkitkan persoalan mengenai keikhlasan beliau dalam memimpin masyarakat yang demokratik dan majmuk kerana liberalisme mengandungi konsep kebebasan dan kesamarataan seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Tindakan Perdana Menteri yang berkempen bagi Rukun Negara tetapi pada masa yang sama mengecam liberalisme adalah tindakan yang bersifat ironi serta hipokrasi.

Ianya membangkitkan suatu persoalan sekiranya Perdana Menteri kita yang “prihatin” ini akan menindas sebahagian warganegara untuk melindungi “hak-hak” yang berdasarkan Perlembagaannya bersifat meragukan? Perdana Menteri perlu memahami bahawa tiada tawar-menawar dalam prinsip-prinsip liberalisme dan sekularisme kerana kedua-duanya elemen yang diperlukan untuk membangunkan negara kita.

Disediakan oleh CSO (Pertubuhan Masyarakat Madani) Platform for Reform (Kluster
Harmoni).
Tarikh: 8 Disember 2020

Disokong oleh:

  1. ALIRAN
  2. Bersih 2.0
  3. Beyond Borders Malaysia
  4. Borneo’s Plight in Malaysia Foundation (BopiMaFo)
  5. Centre for Independent Journalism (CIJ)
  6. Dayak National Congress
  7. Dayak Think-Tank Association Sarawak – DTTAS
  8. Engage
  9. G25
  10. Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK)
  11. Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
  12. Justice for Sisters
  13. KitaBantuKita.Org
  14. MAJU
  15. OHMSI
  16. Our Journey
  17. Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
  18. Persatuan Pemangkin Daya Masyarakat (ROSE)
  19. Persatuan Sahabat Wanita Selangor
  20. Persatuan Warisan Sabah Sarawak Kuala Lumpur
  21. Pusat KOMAS
  22. Sabah Reform Initiative (SARI)
  23. Sarawak Association for Peoples’ Aspirations (SAPA)
  24. Sisters in Islam (SIS)
  25. The Kuala Lumpur and Selangor Chinese Assembly Hall (KLSCAH)