Pusat KOMAS mengecam sekeras-kerasnya ikrar Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr. Akmal Salleh baru-baru ini untuk “melawan DAP hingga ke akhirnya” semasa ucapannya di Perhimpunan Agung Pemuda UMNO semalam. Kenyataan ini adalah satu sandiwara politik terang-terangan yang tidak dapat dielakkan akan menjadikan komuniti bukan Melayu Malaysia sebagai sasaran. Dengan membingkai peletakan jawatannya sebagai EXCO negeri Melaka tetapi kekal sebagai Ketua Pemuda UMNO, memetik keputusan itu dibuat selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan parti, Datuk Dr. Akmal pada dasarnya menggunakan sentimen anti-Cina dan minoriti lain di bawah samaran kesetiaan “akar umbi”. Retorik sedemikian secara tersirat menggerakkan permusuhan etnik untuk keuntungan politik.
Tambahan pula, UMNO kini adalah parti komponen kerajaan MADANI, dan sebagai sebahagian daripada gabungan yang memerintah, UMNO harus bertindak sebagai rakankongsi yang komited kepada kerjasama, pembinaan konsensus dan tadbir urus berbilang kaum, bukan meletakkan parti gabungan sebagai musuh untuk “dilawan” tanpa batas.
Kebetulan, Laporan Rasisme Malaysia 2023 dan 2024 oleh Pusat KOMAS menunjukkan bahawa Datuk Dr. Akmal mempunyai rekod membuat kenyataan yang menghasut dan penuh kebencian: dalam kes sebelum ini beliau melemparkan penghinaan perkauman terhadap ahli parlimen DAP berbangsa Cina, di samping pelbagai kenyataan terhadap anggota komuniti minoriti. Oleh itu, Pusat KOMAS menyeru kepimpinan UMNO untuk mengambil tanggungjawab dan mendesak Ketua Pemuda mereka dipertanggungjawabkan atas retorik perkauman yang berulang-ulang.
Negara ini memerlukan kepimpinan yang menyatukan, bukan memecahbelahkan. Pusat KOMAS menggesa semua pihak untuk mengelak daripada retorik yang memecahbelahkan dan sebaliknya bersatu untuk terlibat dalam dialog yang membina tentang apa yang diperlukan untuk Malaysia. Meletakkan parti politik atau etnik sebagai kambing hitam adalah tidak serasi dengan nilai-nilai demokrasi.
Kepimpinan belia seharusnya memupuk perspektif yang segar dan progresif bagi mencabar corak politik lama, bukannya membiarkan diri terjerumus dalam amalan lama Malaysia, iaitu sentimen perkauman, semata-mata untuk meraih keuntungan politik. Kami menggesa semua Pemuda UMNO untuk mempunyai minda yang terbuka terhadap dunia di mana perkauman digantikan dengan konsep Malaysia untuk semua. Hanya apabila sesebuah parti politik benar-benar mampu memperjuangkan kepentingan semua pihak, barulah ia layak mendapat sokongan setiap rakyat Malaysia.
Pusat KOMAS menegaskan komitmen terhadap Malaysia yang meraikan kepelbagaian serta menjunjung keadilan dan kesaksamaan. Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk
menolak naratif yang memecahbelahkan dan berusaha ke arah masyarakat yang lebih inklusif dan padu. Kami akan terus menyokong Malaysia yang inklusif dan demokratik di mana pemimpin bersaing dalam idea dan dasar, bukan dengan mencetuskan ketakutan etnik melalui politik identiti.
Disediakan oleh
Pusat KOMAS