Pusat KOMAS ingin merujuk kepada pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai dasar tindakan afirmatif di Malaysia kerana ia mencerminkan pemahaman yang terperinci tentang isu-isu yang berkaitan dengan kemiskinan, pendidikan, dan perbezaan sosioekonomi. Pendirian Perdana Menteri Anwar Ibrahim, bahawa bantuan yang bersasar sepatutnya berdasarkan keperluan bukan berdasarkan kaum atau bangsa, merupakan satu langkah ke arah yang betul dan mengambil pendekatan yang lebih terangkum dan adil dalam memartabatkan komuniti yang terpinggir.

Dengan menekankan bahawa kemiskinan tidak berkait rapat dengan bangsa atau kaum, dan mengakui ada jurang perbezaan antara kemudahan pendidikan yang tersedia di bandar dan di luar bandar, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan keperluan bagi sokongan tambahan atau tindakan afirmatif untuk mengimbangi taraf kedudukan dan keperluan pelajar. Pengakuannya terhadap kelemahan dalam proses meritokrasi, terutamanya apabila ia merugikan pelajar dari sekolah luar bandar yang kekurangan sumber, menunjukkan persoalan praktikal yang dihadapi oleh banyak individu dalam mengakses pendidikan berkualiti.

“Adalah penting bahawa kenyataan-kenyataan yang memperjuangkan sokongan berdasarkan keperluan ini diterjemahkan kepada dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang konkrit. Fokus harus beralih dari retorik kepada pelaksanaan yang efektif. Jika dasar-dasar tindakan afirmatif perlu diperbaiki dan dirombak untuk memberi keutamaan kepada bantuan berdasarkan keperluan, kerajaan perlu memastikan perubahan-perubahan ini menyeluruh dan mencapai golongan yang benar-benar memerlukan sokongan, tanpa mengira kaum, bangsa atau etnik mereka.”
– Dr. Ryan Chua, Pengarah Program Pusat KOMAS.

Selain itu, pengiktirafan Perdana Menteri terhadap keperluan Malaysia untuk memajukan dan menyesuaikan dasar-dasarnya mencerminkan satu pendekatan yang progresif. Mengatasi konteks sejarah dan persetujuan sosial adalah penting, tetapi ia tidak sepatutnya menghalang kemajuan menuju masyarakat yang lebih adil dan meritokratik.

Keseimbangan dalam memperbetulkan ketidakadilan dari sudut sejarah dan mempromosikan keadilan bagi semua rakyat Malaysia masih menjadi sesuatu yang perlu diteliti. Komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memperbaiki dan merombak dasar-dasar tindakan afirmatif adalah satu langkah yang positif. Niat ini amat penting diterjemahkan kepada reformasi yang nyata yang benar-benar memartabatkan golongan yang terpinggir dan mencipta peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia. Pusat Komas berharap bahawa Perdana Menteri dan Kerajaan Madani, akan terus berpegang teguh pada kedudukan ini dan tidak akan menarik balik apabila di bawah tekanan politik. Komitmen politik yang jujur dan pelaksanaan yang berkesan akan menjadi penting dalam mencapai perubahan yang diharapkan dan memastikan kemajuan Malaysia ke arah masyarakat yang lebih adil selari dengan Malaysia Madani.

Kenyataan disediakan oleh Pusat KOMAS, untuk pertanyaan lanjut sila hubungi Sharmila di sharmila@komas.org.