38000
Photo credit to IndiaToday

Pusat KOMAS mengalu-alukan genjatan senjata yang diumumkan oleh pihak Israel dan Hamas setelah tindakan ketenteraan oleh rejim “aparteid” Israel yang zalim, tidak berperikemanusiaan dan tidak seimbang terhadap rakyat Palestin di Gaza serta Tebing Barat baru-baru ini yang telah berlarutan selama lebih satu minggu.

Kejadian berbalas serangan antara pihak Israeli Occupation Forces (IOF) dan Hamas yang tercetus sebelum sambutan Aidilfitri lalu bukanlah satu perkara yang baharu malah ianya merupakan rentetan dari konflik kemanusiaan dan jenayah peperangan yang berlaku di Gaza sejak pengusiran beramai-ramai rakyat Palestin pada tahun 1948.

Bukanlah menjadi suatu rahsia lagi bahawa Israel mempunyai rekod yang memalukan dalam pematuhan terhadap piawaian hak asasi antarabangsa dan pencabulan resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui pentadbiran, dasar awam serta tindakan-tindakan yang melanggar hak asasi manusia rakyat Palestin.

Kita bersolidariti dengan rakyat Palestin yang kental dalam memastikan hak-hak asasi mereka terpelihara dan ditegakkan. Di peringkat tempatan, mereka telah mengambil pendekatan yang aman melalui protes jalanan serta perhimpunan awam walaupun seringkali menerima tindakbalas yang keras oleh Israeli Occupation Forces (IOF). Di peringkat antarabangsa pula, mereka telah menggunakan kaedah dan mekanisme perundangan yang melibatkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court/ICC) dimana siasatan terhadap jenayah perang dan kemanusiaan oleh Israel sejak 2014 telah mula disiasat. Palestin juga telah mengemukakan aduan kepada Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum PBB (ICERD Committee) pada tahun 2018 untuk meneliti, menilai serta memberikan syor kepada Israel untuk memenuhi komitmennya terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Semakan oleh Jawatankuasa Penghapusan Diskriminasi Kaum (CERD Committee) pada tahun 2019 telah mendapati terdapat amalan diskriminasi perkauman dan perlanggaran terhadap hak-hak asasi manusia rakyat Palestin yang dilakukan oleh Israel. Jawatankuasa tersebut telah mengusulkan beberapa syor kepada Israel bagi menambahbaik komitmennya terhadap Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Antara syor yang dimaksudkan termasuklah pemberian layanan yang samarata terhadap semua individu di dengan menjamin akses yang samarata untuk kewarganegaraan, perlindungan undang-undang, manfaat ekonomi dan sosial, hak terhadap pemilikan hartanah; dan Israel juga disarankan untuk mengubahsuai atau menghapuskan sebarang perundangan yang tidak menepati prinsip-prinsip anti-diskriminasi.

Namun begitu, saranan Jawatankuasa tersebut tidak dihiraukan oleh Israel. Keangkuhan Israel untuk mematuhi piawaian antarabangsa dalam menegakkan hak-hak asasi manusia sejagat semakin jelas apabila Israel secara terang-terangan menolak dari terlibat dengan proses siasatan yang dilaksanakan oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (International Criminal Court/ICC) susulan aduan oleh Palestin pada tahun 2015.

Oleh yang demikian, badan-badan antarabangsa terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu memainkan peranan yang lebih aktif dan tegas dalam menggerakkan usaha untuk menamatkan krisis Palestin-Israel yang telah berlarutan ini dengan menyediakan penyelesaian yang adil dan saksama kepada semua pihak yang terlibat. Segala langkah yang boleh mempercepat dan memudahcara proses untuk mengembalikan semula hak-hak asasi dan maruah rakyat Palestin perlu diambil oleh PBB; bukan sekadar mengeluarkan kenyataan-kenyataan media sahaja.

Tindakan berterusan bersifat diskriminasi perkauman yang dilaksanakan oleh Israel ini harus ditolak sepenuhnya oleh masyarakat global kerana tindakan yang zalim ini juga secara terang-terangan bertentangan dengan Deklarasi Dan Program Tindakan Durban 1yang diiktiraf sewaktu Persidangan Dunia Menentang Rasisme tahun 2001 sebagai konsensus antarabangsa dalam menghapuskan diskriminasi perkauman. Pusat KOMAS yang giat terlibat sewaktu persidangan telah memberikan sokongan kuat supaya isu Palestin ini diangkat sebagai salah satu daripada tiga isu paling besar dunia sewaktu persidangan tersebut. Diskriminasi perkauman yang tidak dibendung akan menyumbang kepada kelahiran sikap ekstrimisme. Dalam jangka masa yang panjang, ia akan mengakibatkan kezaliman dan menggalakkan perlanggaran hak asasi manusia.

Kami mengalu-alukan genjatan senjata yang telah diumumkan dan menggesa Israel untuk berhenti daripada menggunakan sebarang tindakan ketenteraan terhadap masyarakat awam yang akan mengakibatkan kehilangan nyawa, kemusnahan bangunan-bangunan penting serta kelumpuhan perkhidmatan awam. Kami turut menggesa Hamas walaupun ianya dilakukan untuk melindungi diri, untuk tidak menggunakan kekerasan yang disasarkan kepada masyarakat awam Israel. Walaupun keganasan telah dihentikan seketika, para pemimpin dunia tidak boleh leka dan perlu terus menggunakan waktu yang ada untuk mewujudkan keamanan yang berpanjangan untuk rakyat Palestin.

Kita bersolidariti dengan saudara-saudari kita di Palestin dengan mengatakan tidak kepada kezaliman berterusan yang dialami mereka. Mereka juga memiliki hak asasi manusia dan maruah diri untuk hidup di negara mereka secara aman, damai dan harmoni.

Dikeluarkan oleh,
Pusat KOMAS
21 Mei 2021

Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi Dr Ryan Chua, Pengarah Program Pusat KOMAS, melalui ryanc@komas.org.