PETALING JAYA, 26 JUN 2025 – Pusat KOMAS memuji Angkatan Tentera Malaysia kerana melaksanakan pelantikan dan kenaikan pangkat secara profesional dan berprinsip. Ini seharusnya menjadi contoh kepada seluruh perkhidmatan awam di Malaysia. Kami juga ingin mengucapkan setinggi-tingginya tahniah kepada Lt. Jen. Johnny Lim Eng Seng atas kenaikan pangkat beliau yang bersejarah dan sesuai menjadi satu gambaran jelas terhadap sebuah Malaysia yang berpegang kepada prinsip meritokrasi.

Malangnya, detik yang membanggakan ini telah dijadikan alat untuk mempolitikkan dan menyemai sentimen perkauman melalui pelantikkan tersebut. Pusat KOMAS mengecam sekeras-kerasnya kenyataan rasis dan provokatif yang dihantar oleh Ketua PAS Bahagian Sungai Buloh, Zaharuddin Muhammad, yang memutar belitkan pelantikan Lt. Jen. Johnny Lim dengan tujuan menakut-nakutkan rakyat dengan mempergunakan sentimen kaum. Ramalan distopianya tentang seorang rakyat Malaysia berbangsa Cina menjadi Perdana Menteri pada masa hadapan bukan sahaja tidak wajar, malah berbahaya.

Kami ingin tegaskan bahawa:

  • Kenaikan pangkat Lt Jen Lim adalah bukti kepada pencapaian berdasarkan merit, komitmen, dan semangat patriotisme – nilai yang seharusnya menyatukan, bukan memecah belahkan kita.
  • Cara kita memilih pemimpin harus berteraskan demokrasi, meritokrasi, dan keadilan. Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa pelantikan dalam perkhidmatan awam dan kepimpinan kerajaan tidak seharusnya berdasarkan kaum atau etnik, tetapi atas dasar kepercayaan, kelayakan dan khidmat kepada rakyat.
  • Kenyataan seperti ini adalah satu usaha yang jelas untuk mengelirukan rakyat dan mengukuhkan mitos perkauman tentang siapa yang dianggap “layak kewarganegaraannya”

Pemimpin yang berintegriti dan benar-benar mengutamakan kepentingan negara tidak akan menggunakan retorik seperti ini, kerana ia hanya memperbesarkan jurang perpecahan di kalangan masyarakat. Jika PAS benar-benar berpegang kepada prinsip kesamarataan, keadilan dan integriti seperti yang sering dilaungkan, mereka harus mengambil tindakan tegas terhadap perilaku berbaur perkauman dalam kalangan pimpinan
mereka.

Pusat KOMAS menggesa setiap rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, termasuk para pemimpin politik, untuk menolak politik berasaskan ketakutan seperti ini. Kita harus bersama membina masa depan yang mana kejayaan rakyat Malaysia diraikan bersama.