perpaduan

Pusat KOMAS mengalu-alukan Rangka Tindakan (Blueprint) Perpaduan Negara 2021 – 2030 (RTPN) yang diumumkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN). Ianya adalah suatu langkah ke hadapan dalam mempromosikan perpaduan di waktu sebegini tetapi beberapa penelitian terhadap rekod masa lalu perlu diambil kira sebelum satu lagi idea baharu hanya kekal di dalam lembaran kertas kerja semata-mata tanpa menjadi pelaksanaan yang kukuh.

Kerajaan PN telah beberapa kali menampilkan imejnya sebagai kerajaan Melayu Muslim dan ini amat membimbangkan. Perbezaan ketara antara imej Kerajaan PN dan RTPN ini mungkin menzahirkan ketidakikhlasan kerajaan yang dipimpin oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memacu agenda perpaduan nasional dengan politik perkauman yang masih menjadi amalan.

Sehubungan dengan itu, Pusat KOMAS menyatakan kebimbangan terhadap keazaman politik Kerajaan PN dalam melaksanakan cadangan dan syor yang terkandung dalam RTPN supaya ianya tidak dilihat sebagai tindakan simbolik semata-mata seperti yang telah kita perhatikan terhadap cadangan oleh Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN) yang diwujudkan oleh P. Waythamoorthy, bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial yang tidak menjadi realiti.

Analisis terperinci terhadap RTPN mendedahkan beberapa bahagian yang menimbulkan kebimbangan. Bahagian utama melibatkan “perkara asas” (grundnorm) yang dipilih daripada beberapa peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang dilihat bercanggah dengan definisi “perpaduan” (unity) di dalam RTPN. Walaupun maksud peruntukan Perlembagaan tersebut tidak berubah, penekanan yang diberi seolah-olah mewajarkan kepentingan etnik majoriti dan bukannya kesaksamaan terhadap semua. Penekanan terhadap peruntukan Perlembagaan tersebut dilihat memberi kelebihan ke atas etnik majoriti dan bukannya layanan saksama terhadap semua. Ini bercanggah dengan tanggapan “perpaduan” yang bertujuan untuk mewujudkan satu identiti nasional yang berdasarkan satu bangsa, satu bahasa dan satu negara.

Pusat KOMAS ingin mendapatkan kepastian tentang pihak manakah yang akan menjadi kumpulan pelaksana RTPN. Berdasarkan sejarah, Biro Tata Negara (BTN) diwujudkan atas rasional untuk membina perpaduan nasional tetapi akhirnya menjadi wasilah propaganda politik yang menyebarkan kebencian dan rasisme di kalangan rakyat Malaysia. OIeh itu, kumpulan pelaksana RTPN perlu terdiri daripada penjawat awam yang tidak hanya mampu berkata-kata mengenai aspirasi RTPN tetapi turut menjelmakan keyakinan dalam menghapuskan rasisme di Malaysia. Keahlian kumpulan pelaksana perlu terdiri daripada pelbagai latar belakang dan mempunyai keberanian moral untuk menghadapi segala jenis rasisme di negara ini di samping wajib mempunyai kemahiran untuk membentuk agenda baharu untuk negara ini.

Oleh itu, Pusat KOMAS mencadangkan agar pihak Kerajaan untuk menambah baik modul sedia ada seperti Hubungan Etnik di universiti dan Pendidikan Sivik di sekolah menengah daripada membangunkan modul baharu berkenaan hubungan antara kaum. Pada masa yang sama, penilaian kualiti dan proses dalam pemantauan keberkesanan modul-modul tersebut perlulah dilakukan secara telus.

Salah satu kelompongan RTPN adalah ianya tidak memperakui rasisme yang berterusan dan diskriminasi kaum sebagai penghalang terhadap perpaduan nasional. Perundangan dan polisi sedia ada yang mengukuhkan rasisme dan diskriminasi tidak diberi perhatian. RTPN gagal untuk memperincikan pendekatan konkrit yang diambil untuk menangani isu dasar yang menjadi penyumbang utama dalam rasisme yang berpanjangan.

Walaupun RTPN menyenaraikan segala pendekatan yang dianggap positif, Pusat KOMAS yakin bahawa ianya dapat ditambah baik dengan menyeluruh untuk kebaikan masyarakat Malaysia. Pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bekerja untuk menghapuskan rasisme dan mempromosikan perpaduan nasional perlu dilibatkan sebagai rakan kerjasama atau pemegangtaruh di dalam memajukan wacana perpaduan nasional. Kerajaan harus mempamerkan keinginan untuk berkolaborasi bagi menjayakan agenda nasional yang penting ini.

Disediakan oleh,
Pusat KOMAS
18 Februari 2021