Pusat KOMAS membantah sekeras-kerasnya perbuatan seorang penuntut universiti yang memuat naik gambar di media sosial yang memaparkan tindakan memijak al-Quran.Perbuatan ini amat menghina, tidak bertanggungjawab, dan sama sekali tidak mencerminkan nilai sebuah masyarakat yang menjunjung rasa hormat, kefahaman, dan kehidupan bersama secara aman.

Pada masa yang sama, membalas kebencian dengan kebencian hanya akan memburukkan lagi keadaan dan meningkatkan ketegangan. Pusat KOMAS turut mengecam tindakan balas seperti doxxing (menyebarkan maklumat peribadi), gangguan, serta ugutan keganasan. Tindakan sebegini adalah menyalahi undang-undang dan berisiko mencetuskan budaya ‘vigilante’, sekali gus mewujudkan kitaran ketakutan yang lebih meluas.

Ukuran “betapa tersinggung sesebuah masyarakat” mestilah diterapkan secara saksama setiap kali simbol suci mana-mana agama dihina atau dinodai, dan bukan hanya terpakai kepada majoriti. Sebuah negara yang dibina atas nilai dan prinsip kesaksamaan menuntut tahap penghormatan yang sama untuk semua komuniti.

Malaysia bukan kali pertama berdepan ketegangan berasaskan kaum dan agama – namun, isu sebegini kerap diambil tindakan melalui pendekatan hukuman selepas kejadian berlaku. Pendekatan reaktif ini tidak menyelesaikan punca masalah, dan juga tidak mencegah insiden sebegini berulang.

Justeru, Pusat KOMAS menggesa Kerajaan MADANI mengambil langkah segera untuk mewujudkan mekanisme bebas yang berteraskan perdamaian – seperti Suruhanjaya Keharmonian Nasional – bagi membolehkan proses mediasi, meredakan ketegangan, dan membuka ruang pemulihan apabila insiden sensitif seperti ini berlaku. Malaysia memerlukan proses yang diyakini serta mengutamakan pencegahan, bukan sekadar hukuman.

Sehubungan itu, Pusat KOMAS turut menyeru:

  1. Pihak universiti dan agensi berkaitan agar memperkukuh pendidikan sivik, tanggungjawab digital, serta penglibatan antara agama dan kepercayaan – terutamanya dalam menangani provokasi dan penyebaran maklumat palsu di ruang dalam talian.
  2. Orang awam dan pemimpin politik supaya tidak menghasut, menghentikan penyebaran maklumat peribadi, serta menolak sebarang bentuk ugutan dan keganasan. Proses undang-undang yang sewajarnya harus dibiarkan berjalan mengikut kerangka perundangan.

Keharmonian negara tidak dapat dibina melalui ugutan atau tindakan membalas dendam. Sebaliknya, ia hanya dapat diperkukuh melalui akauntabiliti, kepimpinan yang berhemat, dan dialog yang bersifat konstruktif berlandaskan penghormatan serta martabat yang saksama untuk semua.