Pusat KOMAS mengecam sekeras-kerasnya gelombang kebencian terbaru yang disasarkan terhadap pelarian Rohingya di Malaysia, yang telah diperkukuh lagi melalui satu petisyen di platform Change.org yang mengumpul lebih daripada 280,000 tandatangan dalam tempoh tujuh hari.
Petisyen ini dilihat jelas melanggar garis panduan komuniti Change.org sendiri, khususnya:
- Larangan terhadap petisyen yang menggalakkan kebencian atau diskriminasi dengan tujuan untuk merugikan atau memudaratkan seluruh kelompok masyarakat berdasarkan asal etnik, asal negara, atau kaum.
- Petisyen yang mengandungi dakwaan mengelirukan dan tidak berasas sehingga memesongkan pemahaman masyarakat terhadap komuniti Rohingya di Malaysia.
Antaranya, petisyen tersebut mendakwa bahawa “kemasukan” pelarian Rohingya telah menyebabkan “tekanan yang semakin meningkat terhadap sumber, infrastruktur, dan perkhidmatan sosial.” Dakwaan ini mengelirukan dan menyumbang kepada naratif permusuhan yang telah lama wujud terhadap komuniti tersebut. Setakat ini, tiada data yang menyokong skala persepsi ini, lebih-lebih lagi apabila komuniti Rohingya membentuk kira-kira 0.4% daripada jumlah penduduk di Malaysia.
Naratif sebegini secara sengaja menggambarkan komuniti Rohingya sebagai kelompok yang hanya mengambil daripada negara, sambil mengabaikan hakikat bahawa ramai dalam kalangan mereka turut menyumbang kepada ekonomi Malaysia walaupun hidup dalam keadaan yang tidak menentu dan sering dieksploitasi.
Change.org juga perlu mengambil kira cara petisyen ini digunakan untuk menggalakkan keganasan di luar platform tersebut, dengan peningkatan seruan untuk mencederakan mereka secara fizikal serta menyerang kediaman mereka yang sering dikaitkan bersama petisyen ini. Walaupun pembuat petisyen tidak menyatakan perkara ini secara jelas di platform tersebut, konteks ini penting untuk menunjukkan bagaimana petisyen sebegini digunakan secara berniat jahat. Perkara ini tidak boleh diabaikan.
Malaysia telah pun dari dulu membuat pendirian menentang pencabulan hak asasi manusia terhadap mana-mana kelompok masyarakat dan pernah memberikan perlindungan kepada pelarian, walaupun Malaysia bukan Negara Pihak kepada Konvensyen Pelarian PBB 1951. Ini termasuk pelarian seperti Muslim Bosnia, masyarakat Chin dari Myanmar, dan pelarian Pakistan. Begitu juga, komuniti Rohingya di Malaysia berada di sini akibat tindakan genosid oleh kerajaan Myanmar terhadap mereka, termasuk pembunuhan dan keganasan. Lebih membimbangkan, laluan kewarganegaraan rasmi yang sangat terhad bagi masyarakat Rohingya menyebabkan mereka lebih terdedah kepada ancaman, serta memerlukan maruah, perlindungan, dan tindak balas dasar yang berperikemanusiaan.
Rakyat Malaysia, termasuk penulis petisyen ini yang menggunakan nama samaran “Aku Anak Malaysia”, harus memahami realiti migrasi dan pemindahan paksa, serta membincangkan isu ini berdasarkan fakta dan bukannya maklumat yang salah. Perbincangan awam mengenai pelarian mestilah berasaskan maklumat yang tepat, bukan stereotaip berbahaya atau dakwaan palsu yang menggambarkan komuniti rentan sebagai ancaman. Kebencian yang berasaskan maklumat salah tidak sepatutnya menjadi sebahagian daripada identiti kita sebagai rakyat Malaysia.
Pusat KOMAS bersetuju bahawa kerajaan Malaysia perlu membangunkan dasar yang lebih mampan dan berasaskan hak asasi manusia dalam mengurus isu pelarian di negara ini. Namun, dasar sedemikian mestilah melindungi kepentingan semua anggota masyarakat yang menyumbang kepada negara, termasuk pelarian dan pencari suaka, dan bukannya menjadikan komuniti yang sudah pun rentan sebagai kambing hitam.
Sehubungan itu, Pusat KOMAS menyeru Change.org untuk segera menurunkan petisyen tersebut dan memastikan platformnya tidak digunakan untuk memudahkan kebencian, diskriminasi, atau hasutan terhadap komuniti rentan.
Kami juga menyeru rakyat Malaysia untuk berhenti memulakan kempen kebencian seperti ini, menolak propaganda yang menyahmanusiakan pelarian, serta kekal bermaklumat, berbelas ihsan, dan bertanggungjawab dalam wacana awam. Kebencian tidak boleh dinormalisasikan sebagai pandangan umum.