Rakyat Malaysia sekali lagi akan menentukan masa hadapan negara ini pada Pilihanraya Umum ke15. Kami di Harmony Cluster, CSO Platform for Reform, menggesa rakyat Malaysia untuk keluar mengundi dan menolak pemimpin yang menggunakan retorik perkauman dan agama untuk mengambil dan mengekalkan kuasa.
Ahli politik dan parti politik telah menjadikan isu kaum dan agama sebagai alat yang berkesan untuk memajukan agenda politik mereka. Sebenarnya, untuk 5 tahun kebelakangan ini, ahli politik dan parti politik telah menggunakan isu kaum dan agama untuk kepentingan politik mereka. Beberapa contoh telah dirakam dan disenaraikan seperti berikut:
- 27 Ogos 2022 – Setelah membentuk parti baharu, Tun Mahathir telah mempromosikan politik berasaskan kaum dengan menyatakan bahawa kerajaan yang didominasi kaum Melayu diperlukan kerana bukan Melayu telah berada jauh di hadapan hingga menyebabkan kaum Melayu ketinggalan.
- 3 September 2022 – Hadi Awang dari PAS telah menyebutkan bahawa punca rasuah di negara ini adalah pengaruh kaum bukan Melayu di dalam bidang ekonomi dan politik.
- 27 September 2022 – Kajiselidik oleh Index Mundi menyenaraikan Malaysia sebagai negara perkauman kedua di dunia dan sebahagian rakyat Malaysia menyalahkan ahli politik untuk ini.
- 20 Oktober 2022 – Walaupun ahli Barisan Nasional menyatakan mereka tidak akan menjuarai hak kaum tertentu dan akan menjadi inklusif, tetapi petikan kenyataan Perdana Menteri Ismail Sabri pada 16 Ogos 2022 menyatakan niat beliau untuk meneruskan MARA Digital, pusat membeli-belah khusus untuk usahawan Bumiputera walaupun projek tersebut telah dianggap gagal dan sekaligus menolak idea keterangkuman yang dipromosikan oleh partinya.
- 22 Oktober 2022 – Kenyataan oleh Presiden PAS Hadi Awang yang menyebutkan terdapat “iblis” di dalam Pakatan Harapan6 mengaitkan parti komponennya DAP dengan komunisme.
- 1 November 2022 – Kenyataan oleh Presiden PAS Hadi Awang di laman web Harakah mencadangkan Islam sebagai pengukur untuk mengundi seseorang wakil rakyat.
- 2 November 2022 – Presiden PAS Hadi Awang menuduh DAP telah memesongkan kaum Melayu dan menggunakan Islam sebagai alat politik.
Isu kaum dan agama telah digunakan secara berkesan terutamanya dalam membentuk tarikan sewaktu pilihanraya. Berdasarkan pemantauan Pusat KOMAS terhadap media sosial sewaktu pilihanraya negeri Johor dan Melaka, kami telah menemui sebanyak 4,400 engagements dari 53,000 engagements (komen, perkongsian dan perkongsian semula) adalah berkaitan isu kaum dan agama. Selain itu, parti-parti politik juga didapati menyelitkan isu perkauman secara halus melalui isu-isu “neutral” seperti ekonomi dan kesihatan dengan memposisikan mereka sebagai jaguh untuk komuniti masing-masing.
Kita sudah terlalu lama dicengkam oleh isu kaum dan agama. Rakyat Malaysia perlu diingatkan bahawa pemilihan pemimpin sepatutnya dilakukan atas dasar kemampuan mereka untuk menerajui negara ini dan bukan semata-mata atas sebab kaum, kepercayaan atau keturunan. Dalam menghadapi pilihanraya akan datang, rakyat Malaysia perlu peka dengan kemajuan negara-negara lain dan menampilkan semangat keterangkuman di Malaysia. Kita perlu mengambil contoh pelantikan Rishi Sunak iaitu Perdana Menteri UK berketurunan British-Asia dan termuda dalam 200 tahun dan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama sewaktu beliau dilantik. Rakyat perlu menilai kebolehan dan kemampuan seseorang calon pemimpin dan tidak sewajarnya berdasarkan kaum dan agama.
Oleh itu, kami dengan tegas ingin mengingatkan semua ahli politik untuk menghentikan dari penggunaan retorik kaum dan agama untuk kepentingan politik mereka. Kami menyeru semua rakyat Malaysia untuk menolak mana-mana tokoh politik yang menggunakan isu kaum dan agama. Kami juga menggesa Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan badan-badan berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya dengan segera untuk menghentikan mana-mana individu atau parti yang didapati mencetuskan kebencian dan keresahan sewaktu proses pilihanraya. Demi Malaysia yang lebih baik, marilah kita semua menolak pemimpin yang menggunakan kaum dan agama untuk kepentingan peribadi mereka. Pada masa yang sama, Harmony Cluster, CSO Platform for Reform akan terus memantau pelbagai saluran media sosial dan juga forum awam untuk memastikan semak imbang terhadap tindakan ahli politik.
Kenyataan disediakan oleh Harmony Cluster dari CSO Platform for Reform
4 November 2021
CSO Platform for Reform (Harmony Cluster) adalah sebahagian dari CSO Platform for Reform, sebuah gabungan yang terdiri daripada 100 CSO di Malaysia yang memberi tumpuan kepada reformasi institusi
