Merujuk kepada laporan portal berita Malaymail, bahawa MAIK (Majlis Agama Islam Kelantan) bercadang ingin menukar agama semua 16 ribu orang Asli di Kelantan kepada agama Islam dalam masa 30 tahun akan datang. Kenyataan ini jelas bercanggah dengan perlembagaan malaysia. Perlembagaan jelas menyatakan islam adalah agama rasmi, namun dalam perlembagaan Persekutuan Artikel 11 (2) menyebutkan, “tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4), mengembangkannya.” Jelaslah bahawa kebebasan beragama dijamin dalam perlembagaan persekutuan. Tidak dinyatakan sebarang sekatan atau halangan untuk melaksanakan sebarang jenis upacara keagamaan atau kepercayaan di Malaysia.

MAIK tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana kita semua rakyat Malaysia mengangkat perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dinegara kita. Sepatutnya setiap orang mempunyai hak untuk kepercayaan mereka dan ini harus dihormati. namun begitu, jika mereka berniat untuk menukar agama sekalipun, ia haruslah datang dari kesungguhan mereka sendiri. tidak sepatutnya kita memaksa mereka untuk menukar agama dan kemudian saya percaya kehidupan mereka akan berubah 180 darjah.

Kementerian Kesihatan telah mengumumkan bahawa kematian Orang Asli secara misteri seorang demi seorang sejak Mei lalu itu adalah disebabkan oleh Demam Campak. Penyakit yang berpunca daripada radang paru-paru dan Demam campak ini telah mengorbankan 15 orang termasuk 3 bayi. Kekecewaan di pihak Pusat KOMAS adalah bahawa 13 daripada 15 mayat Orang Asli yang telah disiasat ini diuruskan menurut dengan pengebumian masyarakat Islam, sedangkan pada ketika ini mereka belum memeluk agama berkenaan dan mereka mempunya upacara sendiri dan ini seharusnya dihormati. Hanya dua daripada mayat tersebut telah disemadikan dengan cara adat iaitu diletakkan diatas pokok di tengah hutan.
Kebebasan beragama seharusnya dipraktikkan oleh jabatan kerajaan dan institusi awam. Orang Asal seharusnya diberikan kebebasan untuk memilih agamanya sendiri termsuk agama tradisi atau kepercayaan nenek moyang mereka. ada individu yang melihat agama mainstream (i;e Islam, Kristian, Hindu) memandang rendah terhadap kepercayaan orang asal yang dipanggil “Pagan”.

Umum mengetahui Orang Asli sangat rapat hubungannya dengan alam semula jadi seperti hutan, sungai dan tanah. Mereka mengamalkan kepercayaan animisme sejak ribuan tahun dan ini kepercayaan nenek moyang mereka. Hubungan dengan alam inilah yang menjadikan mereka sebagai “penjaga alam” yang sebenar kerana mereka mengambil manfaat daripada alam seperti makanan, ubat-ubatan dan juga sebagai tempat berlindung. Peranan Orang Asli dalam Ekosistem Hutan memainkan peranan yang besar dalam memulihara dan memelihara flora dan fauna yang terdapat di dalam hutan.

Pusat KOMAS menyokong kenyataan Ketua Pengarah JAKOA Profesor Dr Juli Edo yang memberikan amaran kepada pendakwah agama agar tidak mengambil kesempatan terhadap Orang Asli yang terdedah dan cuba memperdaya mereka dengan penukaran agama. Oleh itu, Kami mendesak untuk MAIK menarik semula kenyataan tersebut dan menghormati perlembagaan dengan mengangkat kebebasan beragama di dalam negara kita. Jika ingin berdakwah bukan kepada mereka orang Asli perkara yang sepatutnya didahulukan adalah kebajikan mereka dari segi kesihatan, pendidikan, dan keselamatan. Perkara asas seperti inilah adalah keperluan terdesak mereka buat masa ini dan hendaklah dakwah yang datang kepada Orang Asli itu bukan dengan paksaan .Tanggungjawab terhadap kebajikan ini adalah dibawah kerajaan negeri Kelantan kerana mereka adalah rakyat yang bernaung dibawah negeri tersebut. Jika perkara asas ini diabaikan? apalah gunanya gelaran negeri serambi mekah jika ada rakyanya tidak dijaga kebajikannya meskipun dia seorang bukan islam.

Perkara ini turut dijamin dalam Perlembagaan Artikel 8 (1) Semua orang adalah sama rata di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata disisi undang-undang, tidak kira kaum dan bangsa dan agama. Pusat KOMAS juga menyarankan supaya kerajaan fokus kepada menghormati hak asas Orang Asal iaitu Hak Tanah supaya tragedi yang melibatkan kesihatan dan hak tanah tidak berulang pada masa akan datang.

Kenyataan oleh:
Pusat KOMAS

Pin It on Pinterest