Kluster Harmoni Platform CSO untuk Perubahan mengecam tindakan kekerasan fizikal yang berlaku dalam insiden pergaduhan berunsurkan sensitiviti keagamaan yang berlaku di Sungai Way, Petaling Jaya pada 11 Jun 2021.

Berdasarkan siaran media oleh Ketua Polis Petaling Jaya pada 11 Jun 2021, kami berpandangan isu ini dapat dibendung sekiranya Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 dihormati tanpa penularan tangkap layar aplikasi yang mendedahkan maklumat pelanggan. Selain itu, penghantar makanan tersebut harus bersikap profesional dengan menjalankan tugas untuk menghantar makanan sahaja.

Kami berpendapat bahawa insiden ini berlaku akibat sebahagian dari masyarakat yang tersinggung dan sensitif keterlaluan terhadap perilaku minoriti dari kumpulan etnik/pegangan yang lain. Namun begitu, ianya bukanlah satu lesen untuk membolehkan perlakuan fizikal terhadap mereka. Kami percaya bahawa, terdapat saluran lain yang lebih harmoni dan sejahtera yang boleh digunakan untuk menyampaikan pandangan serta rasa kegusaran tersebut.

Kluster Harmoni Platform CSO untuk Perubahan menghargai tindakan pantas pihak Polis Daerah Petaling Jaya untuk menyiasat kejadian ini dan menasihatkan masyarakat untuk tidak menimbulkan sebarang isu dan provokasi yang menyentuh sensitiviti mana-mana agama dan etnik lain yang boleh menggugat ketenteraman awam.

Kami bersependapat dengan kenyataan beliau bahawa masyarakat awam perlu menyerahkan tindakan siasatan kepada pihak polis dan perlu mengelakkan dari mengambil tindakan sendiri yang melangkaui batas perundangan.

Pada masa yang sama, kami menyelar tindakan sesetengah individu, badan bukan kerajaan dan ahli/parti politik tertentu yang mengambil kesempatan dari insiden ini untuk memajukan agenda masing-masing berpandukan ketakutan perkauman yang tidak berasas ini. Tambahan pula, sikap sambil lewa FoodPanda untuk mengeluarkan pendirian berkenaan isu ini dan tindakan lanjut yang selari dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia dan perniagaan untuk memastikan insiden seumpamanya tidak berlaku lagi di masa hadapan amat mengecewakan.

Dalam iklim hubungan etnik yang kurang menentu ini, Kluster Harmoni Platform CSO untuk Perubahan menyeru semua pihak untuk mengamalkan sikap yang tenang, rasional dan objektif dalam menilai setiap maklumat yang diterima dan tidak mengambil tindakan melulu yang akan menghakis perpaduan nasional, kesepaduan sosial serta perdamaian antara agama dan etnik.

Disediakan oleh,
Kluster Harmoni Platform CSO untuk Perubahan
16 Jun 2021

Nota:
Kluster Harmoni adalah sebahagian daripada Platform CSO untuk Perubahan, gabungan yang terdiri daripada 80 pertubuhan masyarakat madani di Malaysia yang memberi tumpuan terhadap reformasi institusi.