“Melawat saudara di hujung kota,
Singgah sebentar membeli papan,
13 Mei tanggal penuh sengketa,
Hentikan dendam, mara ke depan.”

Peristiwa 13 Mei 1969 merupakan titik hitam dalam sejarah Malaysia yang perlu dikenang dan tidak wajar diulang. Peristiwa 13 Mei bukan sahaja tragedi dimana nyawa terkorban akibat rusuhan yang tidak berasas, tetapi 54 tahun selepas itu, peristiwa tersebut masih menjadi perbualan yang mewujudkan ketakutan dalam hati rakyat Malaysia. Ianya telah digunakan sebagai bahan kempen PRU-15 dan telah menjejaskan hubungan antara etnik semata-mata untuk kepentingan politik sesetengah pihak. Pihak berkuasa telah memberikan amaran terhadap mereka yang mencetuskan kegelisahan awam, membuka kertas siasatan dan melakukan tangkapan terhadap mereka yang disyaki menggunakan 13 Mei sebagai bahan kempen pilihan raya.

Namun demikian, 13 Mei dijangka akan terus dijadikan senjata politik oleh sebahagian pihak yang terlibat di dalam politik untuk meraih sokongan – terutamanya dalam beberapa pilihan raya negeri akan datang. Oleh itu, kita mestilah berwaspada dan terus mengecam tindakan semua pihak yang menunggang 13 Mei dan mengeruhkan kesangsian antara kaum dan membangkitkan kerisauan tentang kegoyahan pentadbiran negara. 13 Mei tidak sepatutnya dijadikan ancaman terhadap demokrasi di negara ini dan ianya perlu dijadikan pengajaran kepada semua rakyat Malaysia agar insiden itu tidak berulang.

Dalam nada yang sama, kita rakyat Malaysia perlu mendesak semua wakil rakyat dan ahli politik untuk menoktahkan politik berdasarkan kaum yang telah sekian lama berhasil meretakkan hubungan antara kaum di Malaysia, terutamanya ketika kempen pilihan raya negeri akan datang. Inilah waktu terbaik untuk para pemain politik untuk membuktikan komitmen mereka bagi menguburkan politik perkauman di Malaysia. Kita tidak memerlukan wakil rakyat yang hanya menjaga kepentingan kaum tertentu di Dewan Rakyat yang mulia; yang kita perlukan adalah wakil rakyat yang prihatin terhadap keperluan semua kaum di Malaysia. Untuk Malaysia bergerak ke hadapan dan pulih dari luka sengketa 13 Mei, kita memerlukan perbualan yang lebih jujur mengenai peristiwa tersebut. Kronologi peristiwa, fakta yang lengkap dan menyeluruh perlu didedahkan kepada masyarakat awam untuk membentuk kefahaman yang jelas terhadap insiden yang telah berlaku dan tidak membiarkan pandangan 13 Mei dikuasai oleh naratif tempang yang dikuasai dan dijaja oleh pihak yang berkepentingan.

Pihak Kerajaan perlu segera menubuhkan Suruhanjaya Keharmonian dan Rekonsiliasi Nasional untuk melaksanakan peranan mediasi di antara individu atau kumpulan etnik yang mengalami konflik perkauman di peringkat komuniti, merangka panduan dan program yang konstruktif untuk memupuk perpaduan, dan memberi saranan perundangan dan polisi untuk mengawal penggunaan ucapan kebencian yang mengancam ketenteraman awam. Malaysia akan dapat maju ke hadapan tanpa dihantui ketakutan apabila kita dapat menerima hakikat dan pulih dari kenangan masa lampau yang mengguris perasaan mereka yang terlibat, dan peristiwa seperti rusuhan kaum 13 Mei tidak akan berlaku lagi.

Marilah kita bersama-sama rakyat Malaysia menghentikan perbuatan, perlakuan atau ucapan yang mencetuskan kegusaran antara kumpulan etnik; cukup-cukuplah mengapi-apikan sesama kaum berbeza, dan bersama melangkah menuju masa depan dimana kepelbagaian kaum dirangkul dalam membina Malaysia untuk semua.

Disediakan oleh:
Pusat KOMAS
12 Mei 2023