Kami dari Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan mewakili komuniti Orang Asli Kelantan ingin meluahkan rasa ketidakpuasan hati kami terhadap, kenyataan Presiden Persatuan Usahawan Kayu Kelantan Lim Boon Kiak yang menyatakan masyarakat Orang Asli Kelantan khususnya, telah menyebabkan80 syarikat pembalakan berlesen mengalami kerugian sebanyak 20juta. Menurut kenyataan tersebut, orang asli telah mengancam pembalak berlesen dan menubuhkan pagar yang menghalang mereka daripada memasuki kawasan-kawasan tersebut sejak enam tahun dahulu,di sini kami menafikan terdapatnya ancaman terutamanya ancaman yang melibatkan serangan fizikal termasuk membakar jentera berat yang dimiliki oleh Syarikat pembalakan dan setakat kenyataan ini dikeluarkan, tidak ada sebarang kejadian pembakaran jentera berat yang dilakukan oleh orang asli di daerah Gua Musang.
Di dalam kenyataan tersebut, turut menyatakan bahawa tanah itu bukan-nya milik sesiapa tetapi mereka (orang asli) mendakwa tanah itu merupakan hak milik mereka. Penafian tersebut tidak tepat, kerana kami telah mendudukinya secara turun-temurun dan telah mewarisinya dari nenek moyang kami dan jika dirujuk kepada beberapa kes tanah Orang Asli yang menang di Mahkamah, hak Orang Asli ke atas tanah adat sememangnya telah lama diiktiraf oleh mahkamah di Malaysia.
Walaupun syarikat-syarikat yang menjalankan kerja-kerja pembalakan ini mendapat kelulusan dari pada Kerajaan Negeri namun tidak ada sebarang perbincangan yang telus menurut prinsip Berasaskan Makluman, Awal, Bebas dan Telus sepertimana yang terkandung di dalam UN-DRIP, dan ini sekali gus melanggar kreteria sijil pembalakan Malaysia (MTCC) dan Akta 134.
Presiden Persatuan Usahawan Kayu Kelantan juga menyatakan, Kebanyakan keluarga pekerja bergantung kepada mereka. Sekarang, mereka tidak boleh menghantar duit kepada keluarga mereka.
Kenyataan ini menggambarkan ketidakprihatinan oleh pihak-pihak pembalakan terhadap nasib beribu-ribu Orang Asli yang telah menduduki tanah adat kami sejak turun-temurun dan bergantung hidup kepada sumber alam dan sungai berbanding dengan hanya beberapa orang perkerja yang bergantung kepada sektor pembalakan yang mana perkerjaan di dalam sektor ini banyak dimonopoli oleh perkerja-perkerja asing.
Kesimpulannya, isu ini berpunca daripada kegagalan Kerajaan Negeri kerana gagal mengiktiraf tanah dan wilayah adat Orang Asli. Tuduhan-tuduhan yang dilamparkan oleh Presiden Persatuan Usahawan Kayu Kelantan Lim Boon Kiak tersebut adalah tidak benar sama sekali dan pada kami ianya satu tuduhan yang berniat jahat kerana tindakan-tindakan yang diambil oleh komuniti Orang Asli adalah ekoran desakan-desakan yang memaksa kami untuk bertindak di dalam mempertahankan tanah dan wilayah adat kami berikutan aktiviti-aktiviti pembalakan yang semakin meruncing sekarang ini berbanding awal 80an aktiviti pembalakan ini menurut sistem timber tagging tetapi pembalakan kini hutan yang diluluskan kebanyakannya akan di tebang tidak mengikut ukuran yang di tetapkan dan akan majukan berbagai projek peladangan bersekala besa, seperti dengan ladang rakyat selepas habis tebangan seperti yang berlaku di Pos Pulat, Pos Wias, Kg Kuala Wook, Kg Bring, Pos Pasik, Pos Hau dan lain tempat di perkampungan Orang Asli di daerah, Gua Musang sehingga menyebabkan air tadahan yang digunakan oleh Komuniti Orang Asli tercemar dan berkelodak sehingga menyebabkan kehilangan nyawa bahkan disebabkan oleh aktiviti yang tidak terkawal ini, Kelantan telah dilanda bencana banjir besar tahun lalu.
Dengan ini Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK) mewakili Komuniti Orang Asli Kelantan, menuntut Kerajaan Negeri Kelantan menunaikan tanggungjawab dan kewajipan untuk segera mengiktiraf tanah dan wilayah adat Orang Asli menurut kehendak Orang Asli Setempat bagi mengelakan sebarang pertikaian di masa yang akan datang.
Oleh Orang Asli Temiar Kelantan melalui
Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKAOK)
