Hari Hak Asasi Manusia peringkat antarabangsa pada tahun ini disambut dengan tema “Recover Better – Stand Up for Human Rights”. Secara kebiasaannya, hari ini disambut pada setiap tanggal 10 Disember. Rasional tarikh ini dipilih adalah bersempena dengan penerimaan Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Menghapuskan diskriminasi terhadap mana-mana pihak merupakan komponen asas dengan merujuk kepada artikel ke-2 UDHR: “You should never be discriminated against for any reason” (terjemahan: “Anda tidak sepatutnya didiskriminasi atas apa jua sebab”). Dalam erti kata mudah, “diskriminasi” dapat difahami dengan perkataan “penindasan” dan ianya berlaku dalam pelbagai bentuk.

Penularan wabak Covid-19 pada tahun 2020 telah menyebabkan perubahan mendadak kepada cara hidup kebanyakan rakyat Malaysia. Perubahan ini boleh dilihat secara positif mahupun negatif dalam segenap aspek kehidupan kita termasuklah politik, ekonomi dan sosial. Namun, ianya juga telah menyerlahkan sisi gelap sebahagian kita dalam menanggapi isu diskriminasi.

Menyorot kembali tahun 2020, pelbagai contoh diskriminasi yang dapat kita senaraikan.

Antaranya isu bot pelarian Rohingya yang dihalang berlabuh, penangkapan besar-besaran terhadap warga migran, respon berbaur perkauman terhadap kelompok-kelompok tertentu termasuklah pengembara dari China, jemaah tabligh dan pekerja migran, kenyataan yang mengandungi stereotaip perkauman oleh beberapa pemimpin kita serta tahap kemudahan tempat tinggal pekerja buruh kasar yang amat mendukacitakan.

Contoh di atas hanyalah senarai kecil daripada peristiwa-peristiwa berkaitan diskriminasi yang berlaku di dalam negara kita. Dengan membudayakan perbincangan serta dialog akan dapat membantu kita memahami dengan jelas dan mendalam mengenai punca-punca sebenarnya isu diskriminasi di negara kita. Wacana yang berfokus, rasional serta berobjektif ini juga dapat mengelakkan pandangan kita dari dikelabui pertimbangan perkauman.

Kemiskinan yang melarat, kesenjangan yang parah dan diskriminasi yang berpanjangan telah dikenalpasti sebagai batu penghalang dalam usaha-usaha pemulihan pasca Covid-19. Oleh itu, merapatkan kembali jurang yang ada dan menjadikan hak asasi manusia sebagai asas dalam merangka pelan tindakan pemulihan pasca Covid-19 bagi membentuk Malaysia yang lebih baik, berdaya tahan, adil dan lestari.

Bergerak ke hadapan, marilah kita bersama-sama segenap lapisan rakyat Malaysia – pemimpin dan rakyat – memperbaharui komitmen kita dalam memastikan diskriminasi perkauman dibanteras agar dapat mewujudkan masa depan pasca Covid-19 tanpa penindasan dengan peluang saksama dalam mengembangkan potensi diri serta perlindungan terhadap seluruh warganegara dan warga asing di negara yang kita cintai ini.


Awang Ilham adalah Koordinator Program di Pusat KOMAS, NGO yang mempromosikan nilai-nilai demokrasi, keadilan dan kesaksamaan di Malaysia.