Pusat KOMAS memohon penjelasan lanjut dari kerajaan berkenaan perancangan dalam membendung dan membanteras sifat perkauman dan diskriminasi kaum dari terus menular di dalam negara.

Pusat KOMAS menyambut baik niat kerajaan dalam memberi penekanan terhadap kepentingan pendidikan sebagai usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia seperti yang dinyatakan dalam jawapan bertulis Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) kepada Parlimen Selasa lepas. Pendekatan melalui pendidikan ini sememangnya wajar dan perlu dalam memastikan kesan jangka panjang dan berterusan dalam mewujudkan satu negara bangsa yang adil dan harmoni.

Namun begitu, melihat kepada kemaslahatan umum, Pusat KOMAS ingin menegaskan bahawa disamping menjalankan langkah pencegahan melalui agenda pendidikan masyarakat, harus ada usaha yang lebih terperinci dan mendesak seperti penyerapan elemen-elemen anti-perkauman dan anti-diskriminasi dalam perundangan negara sebagai usaha konkirt menghentikan sebarang bentuk perkauman dan diskriminasi kaum dalam negara. Ini juga adalah seiring dengan saranan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) untuk penggubalan tiga undang-undang berkenaan perpaduan terutama Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional yang seringkali dilapor akan dibentang di Parlimen “tidak lama lagi”.

Pusat KOMAS mengambil maklum laporan media yang merujuk kepada kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Joesph Kurup awal bulan ini di Kota Kinabalu bahawasanya Rang Undang-Undang Keharmonian Nasional kini berada diperingkat deraf akhir. Sehubungan dengan itu, Pusat KOMAS menggesa kerajaan agar rang undang-undang tersebut dapat dibentangkan di parlimen secepat mungkin.

Pusat KOMAS mengakui bahawa mencegah sesungguhnya adalah lebih baik dari mengubati. Namun tatkala barah perkauman ini sedang merebak luas, kaedah perundangan sebagai salah satu mekanisma merawat masyarakat adalah perlu.

Berdasarkan Laporan Diskriminasi Kaum 2016 yang dikeluarkan Pusat KOMAS, terdapat lebih kurang 10 trend dimana tindakan diskriminasi berbaur perkauman berlaku di dalam negara antaranya:-

  1. Diskriminasi kaum dalam sektor pendidikan
  2. Jenayah disandarkan kepada kaum
  3. Perkauman dalam sektor perniagaan
  4. Diskriminasi berasaskan kod pakaian dan penyampaian perkhidmatan
  5. Kumpulan, agensi dan individu yang menggunakan sentimen provokasi perkauman
  6. Kumpulan politik, ucapan kebencian dan kenyataan berbaur perkauman
  7. Tabiat diskriminasi perkauman dalam kalangan rakyat Malaysia
  8. Diskriminasi kaum atas nama agama
  9. Diskriminasi kaum dalam industri lain seperti hiburan
  10. Tingkah laku xenophobia kepada warga asing

Berdasarkan pemantauan Pusat KOMAS sepanjang tahun ini, didapati bahawa trend yang disenaraikan diatas bukan sahaja berlangsung secara berterusan hingga hari ini malah terdapat manifestasi perkauman dan diskriminasi perkauman juga kelihatan lebih jelas dengan trend-trend baru yang dilakukan oleh individu dan kumpulan tertentu termasuk juga badan korporat dan institusi kerajaan.

Lantaran itu, adalah amat penting agar usaha pembanterasan melalui mekanisma perundangan turut sama di laksanakan dalam masa terdekat, seiring dengan agenda mendidik masyarakat yang berterusan, sebagai usaha secara langsung membanteras sifat perkauman dan diskriminasi kaum dari terus membunuh aspirasi rakyat untuk pembinaan negara bangsa Malaysia.

Pusat KOMAS
26.10.2017

Picture taken from Ratify ICERD Now, Stop Racism