Kenyataan Media JKOASM – Perobohan Blockade Orang Asli di Gua Musang

kelantan-blockade

Latar Belakang

Komuniti Orang Asli di Gua Musang telah menubuhkan sekatan (blockade) sebagai jalan terakhir untuk menghalang pihak pembalak daripada menjalankan aktiviti pembalakan di kawasan Wilayah Tanah Adat Orang Asli di Kuala Betis, Gua Musang. Sebanyak tiga blockade telah dibina iaitu di Simpang Petei berhampiran Pos Gob, Betau Cawas berhampiran Pos Bihai dan Kelawong di Pos Pasik.

Walaupun blockade telah dibina oleh Orang Asli, Orang Asli tetap mencuba untuk berbincang dengan Kerajaan Negeri Kelantan. Namun,  percubaan tersebut ditolak oleh Kerajaan Negeri dengan alasan bahawa Kerajaan Negeri hanya berjumpa dengan wakil-wakil Orang Asli yang berdaftar atau menyokong Kerajaan Negeri contohnya batin-batin mukim yang dilantik oleh PAS dan individu Orang Asli yang menyokong Projek Ladang Rakyat.

Perkembangan Terkini

Orang Asli telah diberikan notis bertarikh 6 November 2016 iaitu pemberitahuan untuk mengosongkan kawasan blockade menjelang 20 November 2016. Namun Orang Asli di sana telah memutuskan untuk meneruskan blockade tersebut.

Pada 29 November 2016, pihak Jabatan Hutan, Polis dan Pasukan Gerak Am (PGA) yang berjumlah kira-kira 100 orang dengan 27 buah kenderaan pacuan 4 roda telah masuk ke kawasan blockade Simpang Petei berhampiran Pos Gob dan Betau Cawas berhampiran Pos Bihai dan setakat kira-kira jam 5.00 petang tadi telah menangkap seramai 40 Orang Asli dari kedua-dua blockade ini.
Menurut Mustafa Along, iaitu salah seorang yang telah ditangkap, mereka telah di bawa di dalam Black Maria ke IPD Gua Musang. Apabila beliau bertanya akan sebab penangkapan, beliau dimaklumkan bahawa  mereka ditahan di bawah Akta Perhutanan Negara, seksyen 84, iaitu memiliki hasil hutan secara menyalahi undang-undang.  Kenapakah ia dikuatkuasakan sedangkan Orang Asli bukan baru menduduki dan menggunakan kawasan tersebut? Kenapa mereka digempur dan ditangkap seolah-olah mereka penjenayah?

Selain itu, peralatan elektronik mereka iaitu kamera dan telefon bimbit termasuk dua motorsikal telah dirampas oleh pihak polis.

Blockade dan pondok-pondok yang dibina dalam kedua-dua blockade Simpang Petai dan Betau Cawas juga telah habis dimusnahkan. Peristiwa ini amat menyedihkan kami dan Orang Asli yang terlibat.

Penegasan JKOASM

1) Kami amat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang mengeksplotasi pihak polis dan PGA untuk merobohkan blockade dan pondok-pondok Orang Asli di Simpang Petai dan Cawas. Intimidasi dengan cara kekerasan lisan yang digunakan oleh pihak polis, PGA dan Jabatan Hutan ketika berdepan dengan Orang Asli amat biadap dan tidak berhemah sedangkan mereka hanya mempertahankan kawasan wilayah tanah adat mereka tanpa senjata dan atau kekerasan.

2) Mengecam sekeras-kerasnya tindakan kerajaan negeri Kelantan yang ternyata berat sebelah dan membela pembalak daripada Orang Asli.

3) Penuhi tuntutan Orang Asli Kelantan supaya MB Kelantan turun sendiri ke lapangan dan melihat sendiri kemusnahan akibat kerakusan aktiviti pembalakan. Blockade tersebut dibina kerana hutan/wilayah tanah adat telah musnah. Tempat-tempat mereka mencari rezeki, sejarah, perkuburan, sungai, tanaman dan kawasan suci telah hampir musnah keseluruhannya. Tambahan lagi, bukti atau kesan aktiviti pembalakan yang rakus ialah banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 yang menyebabkan kemusnahan harta benda bukan saja kepada Orang Asli tetapi rakyat Kelantan secara am. Adakah Kerajaan Negeri Kelantan masih enggan menerima hakikat ini? Adakah wang ringgit hasil pembalakan lebih penting daripada nasib dan hak rakyat?

4) Hentikan terus pengeluaran lesen pembalakan di dalam kawasan Wilayah Tanah Adat Orang Asli.

Sediakan oleh,
Tijah Yok Chopil
Pengerusi
Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)